IPOH – Pembinaan projek Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) akan dimulakan selepas syarikat konsesi mematuhi ‘condition precedent’ (CP) atau syarat duluan yang bakal dimuktamadkan pada tahun 2026.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, projek lebuh raya yang menghubungkan antara Gopeng ke Kuala Kangsar itu dilaksanakan secara penswastaan (PPP) selepas perjanjian ditandatangani pada 5 September tahun lalu.
“Lebuh raya WISE dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang dibina sebagai laluan alternatif ke jajaran Terowong Menora dijangka dapat mengurangkan kesesakan Lebuhraya Utara – Selatan yang boleh merangsang pelancongan dan nilai hartanah di bandar.
“Selain itu, ia juga merancakkan industri pengangkutan serta pembangunan mega antaranya projek pembangunan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (PH – Kepayang) ketika Sesi Soalan-soalan Lisan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.
Mengulas tentang WCE, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi di sepanjang jajaran Lebuh Raya WCE.
Jelas beliau, jawatankuasa yang bersidang secara berkala setiap tahun itu adalah untuk memantau pertumbuhan ekonomi di sepanjang jajaran lebuh raya berkenaan dalam Perak.
Tambah Mohammad Nizar, lebuh raya berkenaan berperanan sebagai pemangkin untuk merancakkan aktiviti pelancongan negeri serta mampu mencetus kepada pertumbuhan bandar-bandar baharu.
“Terdapat cadangan pembangunan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan khususnya melibatkan lima daerah yang menerima kesan langsung daripada projek Lebuh Raya WCE ini.
“Daerah berkenaan adalah di Bagan Datuk, Hilir Perak, Perak Tengah, Manjung serta Larut, Matang dan Selama,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lebuh Raya WISE: Perjanjian konsesi antara syarikat, KKR ditandatangani – Saarani