IPOH – Kerajaan Negeri Perak berharap projek lebuh raya baharu yang menghubungkan Tanjung Malim dengan Lumut dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Oktober depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan berkenaan telah diusulkan kepada Kerajaan Persekutuan dan didaftarkan di bawah Kementerian Kewangan untuk pertimbangan pembangunan sebelum ini.
“Kita sudah bentangkan cadangan projek lebuh raya Tanjung Malim–Lumut kepada Persekutuan kerana ia penting bagi melengkapkan industri automotif elektrik di Tanjung Malim.
“Apabila pengeluaran kenderaan elektrik (EV) bermula di Tanjung Malim nanti, kita perlu ada akses eksport. Jika mahu dihantar ke Pulau Pinang, jaraknya terlalu jauh, manakala jika ke pelabuhan di Klang pula sudah sesak.
“Oleh itu, kita memerlukan sebuah lebuh raya baharu untuk kita perkasakan Lumut Port,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Kemuncak Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) 2025 di Stadium Indera Mulia, di sini, pada Ahad.
Antara turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim, serta Pengarah KAMU 2025 merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Mohamad Hamidi Baharuddin.
Pada masa sama Saarani juga berharap Kerajaan Persekutuan turut dapat memberi perhatian kepada permintaan kerajaan negeri untuk mengadakan lebih banyak jajaran jalan raya di seluruh negeri.
Kata beliau, ia sebagai menyokong kepada pembangunan projek mega di Perak Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan sebagainya.
“Penting untuk kita mengadakan jaringan penghubungan atau jalan raya yang baik di negeri ini. Antara salah satu yang kita harap dapat diadakan adalah jajaran antara Tanjung Malim dengan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE),” ujarnya.
Mengikut Takwim Penggal Keempat Parlimen Ke-15 2025, Belanjawan 2026 dijadual akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada 10 Oktober depan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KAMU 2025 platform usahawan belia tambah rezeki, raih pengalaman