HCM 2025: JBPM fokus kebersihan, penyelenggaraan fasiliti

IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengadakan program Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 bagi menyahut saranan kerajaan bagi memastikan tahap kebersihan dan persekitaran tempat kerja berada dalam keadaan baik, selesa, bersih serta tersusun.

Pengarahnya, Sayani Saidon berkata, program ini membantu menjadikan persekitaran tempat kerja lebih kondusif sekali gus menyemarakkan semangat anggota untuk menjalankan tugas.

Beliau turut menyarankan supaya balai bomba di seluruh negeri untuk bersama-sama melaksanakan Hari Cuci Malaysia di balai masing-masing seperti yang dilaksanakan di peringkat ibu pejabat.

HCM 2025: JBPM fokus kebersihan, penyelenggaraan fasiliti
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon menanam pokok bunga pada Hari Cuci Malaysia Tahun 2025 Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak di Ibu Pejabat, JBPM Negeri Perak, Bandar Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

“Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah menghijaukan persekitaran dengan menanam pokok-pokok hiasan, membuat kerja-kerja pembersihan kawasan dengan pancutan air, memastikan longkang-longkang dalam keadaan bersih serta mengecat pili bomba.

“Kita juga memastikan pili bomba bersedia digunakan, bukan hanya memeriksa pili bomba di luar tetapi juga di dalam kawasan ibu pejabat bagi memastikan ia berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Cuci Malaysia 2025 peringkat JBPM Perak di Ibu Pejabat JBPM di Meru Raya di sini.

Sayani menambah, program itu bukan sahaja menitikberatkan aspek kebersihan tetapi juga bertujuan meningkatkan kesedaran warga JBPM tentang kepentingan penjagaan fasiliti dan kemudahan awam.

HCM 2025: JBPM fokus kebersihan, penyelenggaraan fasiliti
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon bergotong-royong mencuci longkang pada Hari Cuci Malaysia Tahun 2025 Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak di Ibu Pejabat, JBPM Negeri Perak, Bandar Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF.

HCM ialah inisiatif tahunan yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri untuk diadakan pada Sabtu terakhir setiap bulan September.

Program yang diterajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan awam serta memerangi isu pencemaran sisa.

Pada penganjuran sulung HCM tahun lepas, KPKT berjaya mencatatkan tiga rekod Malaysia Book of Records iaitu penyertaan gotong-royong serentak terbesar (58,007 peserta), kutipan sisa pepejal terberat (4,645.50 tan metrik) dan tempoh gotong-royong paling lama iaitu 12 jam. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MTL: JBPM Perak kenal pasti 332 lokasi banjir, 32 hotspot kepala air

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI