PM Anwar kecam Israel halang flotilla Gaza, janji tindakan undang-undang

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas Global Sumud Flotilla (GSF), dengan menegaskan ia menyasarkan orang awam tidak bersenjata serta kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Beliau berkata flotila yang membawa bekalan penting untuk menyelamatkan nyawa itu sebaliknya berdepan ugutan dan paksaan oleh tentera Israel.

“Dengan menghalang misi kemanusiaan, Israel menunjukkan sikap tidak hormat bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin, tetapi juga hati nurani dunia.

“Flotila ini melambangkan solidariti, belas kasihan dan harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang hidup di bawah sekatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar menegaskan Malaysia akan menggunakan semua kaedah yang sah dan mengikut undang-undang bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya berhubung keselamatan warganegara Malaysia.

“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah keutamaan, dan kita tidak akan membiarkan ia dikompromi sewenang-wenangnya.

“Selagi rakyat Palestin dinafikan hak serta aspirasi asas mereka, Malaysia akan terus teguh bersama mereka. Kita tidak akan berhenti menuntut keadilan serta menentang perampasan yang membelenggu Palestin sejak sekian lama,” katanya.

Setakat ini, tiada laporan kecederaan diterima. Namun, delegasi GSF kekal bersemangat meneruskan misi walaupun berdepan tindakan Israel yang semakin agresif.

Sehingga 4.30 pagi waktu Malaysia, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan tiga kapal GSF iaitu AlmaSirius dan Adara telah dinaiki tentera laut Israel.

Ia diikuti dengan tindakan sama terhadap kapal HugaGrande Blu dan Hio, menyebabkan kira-kira 17 sukarelawan Malaysia terputus hubungan dengan SNCC.

Sehingga 8 pagi, berdasarkan data status kapal, sebanyak 13 isyarat kecemasan berstatus tinggi telah diaktifkan semasa insiden itu.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI