IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan meminggirkan sektor sukan disebalik pelbagai usaha dan pembangunan yang dirancang di negara ini.
Katanya, tumpuan terhadap sukan bukan sahaja penting bagi melahirkan atlet berdisiplin dan berdaya saing, tetapi juga berperanan memperkukuh semangat perpaduan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Sudah tentu saya dan Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) akan perhati (beri perhatian dalam bidang sukan) dan akan cuba (banruu) apa yang mampu. Dari sekecil-kecil, mahupun sebesar-besar (usaha) apa yang mungkin.
“Ini kerana negara ini (kita mahu ia) maju dari segi ekonomi, segi budaya, nak maju dari segi intelek, (juga kita) nak maju dari segi sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara 2025 Peringkat Kebangsaan di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Hannah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah, serta Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Terdahulu Anwar menyampaikan Anugerah Sukan Untuk Semua kepada lapan penerima dengan menyaksikan tokoh persilatan, Datuk Dr Raja Abdul Majid Raja Mat Isa sebagai penerima Anugerah Khas Perdana Menteri.
Bertemakan ‘Malaysia Aktif’, sambutan selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Oktober ini menampilkan pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi yang melibatkan penyertaan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur.
Lebih 40 acara utama di peringkat kebangsaan dan ratusan aktiviti di peringkat setiap negeri serta daerah dianjurkan dengan sasaran penyertaan seramai 5.2 juta rakyat Malaysia.
Antara aktiviti menarik termasuk Larian Ria MADANI, berbasikal, pickleball, stacking, pound, senamrobik, dan sebagainya.
Mengulas lanjut Anwar memberitahu, kerajaan juga menghargai setiap sumbangan golongan muda khususnya dalam bidang sukan.
“Kerana ini (kerajaan) memberi suntikan disiplin, semangat, dan perpaduan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
KPM pastikan pasukan perubatan ditempatkan di semua kejohanan sukan