Pelajar perempuan mati ditikam: Polis jumpa dua senjata tajam

PETALING JAYA – Polis menemukan dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian tikam yang menyebabkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut di sebuah sekolah, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata mangsa ditemukan maut berdekatan dengan kawasan tandas sekolah berkenaan dengan beberapa kesan tikaman pada badan.

Beliau berkata suspek, iaitu seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun dari sekolah yang sama telah ditahan di tempat kejadian untuk membantu siasatan.

“Motif kejadian masih dalam siasatan, namun siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur buli. Mangsa dan suspek dipercayai saling mengenali kerana belajar di sekolah yang sama walaupun tingkatan berlainan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shamsudin berkata polis menerima makluman pada 9.40 pagi selepas kejadian itu disedari seorang guru yang terdengar jeritan sebelum bergegas menuju ke tandas dan menjumpai mangsa.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok untuk permohonan reman, katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa yang dibawa keluar dari sekolah berkenaan pada kira-kira 12.55 tengah hari telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Shamsudin berkata pihak polis sedang merekodkan keterangan daripada saksi, termasuk rakan mangsa dan guru, untuk melengkapkan siasatan.

— BERNAMA

 


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI