IPOH – Lebih 1,000 penduduk berdepan gangguan bunyi bising dan pencemaran habuk dipercayai berpunca daripada operasi sebuah kilang memproses pasir yang terletak di Jalan Ampang berhampiran Tambun di sini.
Kilang berkenaan yang didakwa beroperasi sehingga lewat malam bukan sahaja menimbulkan gangguan bunyi, malah menyebabkan habuk berterbangan ke kawasan perumahan berhampiran.
Antara kawasan yang didakwa terjejas termasuk Kampung Melayu Rizab Tambun, Taman Seri Tambun, Taman Rimba Tambun, Desa Tambun serta dua sekolah di sekitar kawasan tersebut.
Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tambun, Sukor Mat berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada penduduk mengenai gangguan habuk dan bunyi bising dari kilang berkenaan.
Menurutnya, aduan itu telah dikemukakan kepada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta oleh persatuan penduduk untuk tindakan lanjut pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.
“Setakat ini kita tahu ada tiga aduan diterima. Salah seorang staf syarikat memaklumkan satu kes sudah dibincangkan, tapi dua lagi belum ada sebarang tindakan atau penyelesaian.
“Penduduk mengadu rumah mereka sering dipenuhi habuk dan bunyi kuat ketika operasi dijalankan pada waktu malam serta kita tidak tahu adakah debu atau habuk ini membahayakan kesihatan atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad melakukan tinjauan ke kilang tersebut di sini pada Rabu.
Sukor turut menjelaskan, tapak yang menempatkan kilang karpet sudah tidak beroperasi lebih 10 tahun sebelum kilang memproses pasir didakwa tiba-tiba wujud tanpa dimaklumkan kepada penduduk berhampiran.
Sementara itu, Muhamad Arafat berkata, pertemuannya bersama pihak syarikat kilang tersebut hari ini adalah untuk melihat dokumen kelulusan pengoperasian.
Katanya, kehadirannya bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri berikutan penduduk yang mendakwa kurang selesa terhadap operasi kilang tersebut.
Beliau turut memaklumkan satu mesyuarat khas akan diadakan pada minggu hadapan bersama pihak syarikat kilang dan agensi supaya tindakan yang bersesuaian dapat diambil ke atas premis berkenaan.
“Hasil perjumpaan hari ini, masih ada beberapa perkara yang kami mahu penjelasan lanjut daripada pihak kilang. Pertemuan seterusnya dijadualkan pada minggu depan.
“Buat masa ini saya minta supaya kilang ini menghentikan operasi buat sementara waktu,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Gangguan habuk hitam Taiping: JKN Perak pantau kesihatan penduduk