IPOH – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan agar menilai semula kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi skim Pembantu Tadbir di seluruh negara.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, cadangan itu wajar dilaksanakan kerana kumpulan penjawat awam itu kini menjalankan tugas jauh melebihi skop fungsi asal.
Malah katanya, kebanyakkan anggota pembantu tadbir di pelbagai jabatan serta agensi kerajaan mahupun badan berkanun telah memiliki kelayakan akademik lebih tinggi daripada syarat minimum kemasukan ke jawatan terbabit.
“Pada hari ini ramai dalam kalangan pembantu tadbir telah mempunyai kelayakan akademik yang tinggi sama ada sarjana mahupun doktor falsafah (PhD), walaupun kerajaan menetapkan had kelayakan adalah pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Ini bermakna kita telah menggunakan tenaga mereka yang berkelayakan lebih tinggi ini dengan kadar upah SPM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Fun Run Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Perak di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz, dekat sini, pada Sabtu.
Program dirasmikan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan.
Hadir sama Presiden AUEGCAS, Hazani Hamzah serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Negeri Perak, T Joanna Inbarani.
Menurut Adnan, skim Pembantu Tadbir merupakan antara skim perkhidmatan paling lama dalam struktur perkhidmatan awam, meskipun pelbagai skim lain telah mengalami transformasi di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) dan kini Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Beliau berkata, hasil mesyuarat Jawatankuasa Kualiti Gaji CUEPACS pada minggu lalu, pihaknya menggariskan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan termasuk langkah penjumudan skim perkhidmatan.
Tambah Adnan, permohonan untuk menyemak semula skim Pembantu Tadbir bukan perkara baharu, sebaliknya telah diperjuangkan sejak sekian lama, namun masih belum diberi pertimbangan sewajarnya sehingga kini.
Justeru kata beliau, cadangan untuk melihat semua KGT kesemua 320,000 pembantu tadbir di seluruh negara juga tidak memberikan implikasi kewangan besar kepada kerajaan.
“Perkara yang kita utarakan ini tidak akan memberi kesan besar kepada kewangan kerajaan kerana gaji pokok mereka adalah setara.
“Cuma hanya pada kadar KGT, misalnya daripada kira-kira RM100 kepada RM145 sahaja yang mana perbezaan sekitar RM45 bagi setiap pembantu tadbir.
“Mereka ini adalah tunjang kepada sistem penyampaian kerajaan, daripada kementerian hingga ke pihak berkuasa tempatan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penjawat awam perlu beramanah, tingkat pelbagai kemahiran