IPOH – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengakui menerima aduan daripada segelintir penjawat awam yang berdepan kesukaran dengan pelaksanaan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata, aduan yang diterima khususnya melibatkan mereka yang berulang-alik jauh dari rumah ke tempat kerja dengan menggunakan kenderaan persendirian.
“Kita ada mendengar rungutan, cuma secara rasminya kita belum dapat melihat dari segi pengiraan penggunaan (subsidi liter) dan pengiraan yang tepat.
“Ada penjawat awam yang membeli rumah jauh dari tempat kerja kerana harga lebih mampu milik.
“Mereka sanggup berulang-alik setiap hari, namun kini timbul isu jumlah liter tidak mencukupi bagi menampung keperluan bulanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Fun Run Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Perak di Padang Rekreasi Sultan Abdul Aziz, dekat sini, pada Sabtu.
Program dirasmikan Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan.
Hadir sama Presiden AUEGCAS, Hazani Hamzah serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Negeri Perak T Joanna Inbarani.
Mengulas lanjut Adnan berkata, CUEPACS kini sedang meneliti mekanisme terbaik untuk memastikan kumpulan berkenaan tidak terbeban dengan pelaksanaan BUDI95, sambil mencadangkan supaya kerajaan menilai semula beberapa aspek tuntutan sedia ada.
Kata beliau, ia termasuk cadangan kepada kerajaan meneliti semula pelaksanaan subsidi petrol itu dari semasa ke semasa agar tidak menjejaskan mutu kerja kumpulan penjawat awam.
“Kita sedang melihat apakah mekanisme yang sesuai untuk membantu mereka yang terkesan, khususnya penjawat awam yang menggunakan kenderaan sendiri dalam urusan kerja.
“Antara cadangan yang kita syor adalah ialah menilai semula kaedah tuntutan elaun perjalanan serta menyemak semula formula kiraan perbatuan yang digunakan ketika ini,” ujarnya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter bermula 30 September lalu bagi rakyat tempatan, tanpa mengira tahap pendapatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Lebih 10 juta rakyat Malaysia guna BUDI95 setakat ini