PARIT – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran Dewan Serbaguna Kampung Tua di sini pada Ahad.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 12.42 tengah hari.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.
“Setibanya jentera bersama anggota di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.
“Mangsa lelaki berusia 48 tahun yang merupakan penunggang motosikal ditemukan tercampak dan tersekat di bahagian pintu belakang sebelah kanan MPV terbabit.
“Bagaimanapun, pemandu Perodua Alza yang merupakan seorang wanita berumur 42 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,“ katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan penilaian situasi seterusnya mengaplikasikan Konsep SAVER Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersekat.
“Mangsa yang dikeluarkan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,“ ujarnya.
Katanya, operasi terkawal pada jam 12.59 tengah hari dan tamat sepenuhnya jam 2.17 petang. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Enam rumah, tiga motosikal musnah dalam kebakaran di Teluk Intan


