LUMUT – Seorang pekerja kilang cedera selepas buku lalinya tertusuk besi dalam kejadian di sebuah kilang memproses sawit di Kampung Acheh, Sitiawan hari ini.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu sekitar 11.46 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Setibanya jentera bersama anggota di lokasi kejadian, didapati seorang mangsa lelaki berusia 41 tahun telah cedera di bahagian kiri buku lali akibat tertusuk besi. Kita dimaklumkan buku lali mangsa yang tertusuk besi itu telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
“Ketua operasi melaksanakan penilaian situasi seterusnya membuat rawatan awal kepada mangsa dan menghantar mangsa ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, operasi tamat sepenuhnya pukul 12.40 tengah hari. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Wanita maut, suami dan dua anak cedera dilanggar lori


