IPOH – Perak akan membentangkan Belanjawan Negeri 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Yang Ke-15, 25 November depan.
Pengisian utama persidangan yang berlangsung selama enam hari itu akan menyaksikan pembentangan Enakmen Perbekalan 2026 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2026 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Speaker DUN Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, sesi perbahasan belanjawan negeri akan bermula pada hari kedua persidangan iaitu 26 November.
“Masa bagi sesi perbahasan yang diperuntukkan kepada penyokong kerajaan dan ketua pembangkang adalah selama 45 minit seorang.
“Manakala bagi Ahli Dewan Negeri yang lain adalah selama 20 minit setiap seorang,” katanya pemberita pada sidang media Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Speaker DUN, Jenny Choy Tsi Jen serta, Setiausaha Dewan Negeri, Mohd Ikram Ahmad.

Ketika ditanya tentang kandungan belanjawan negeri, Mohammad Zahir secara berseloroh berkata, butiran awal tidak boleh didedahkan kerana masih tertakluk kepada embargo, namun memberi jaminan bahawa belanjawan kali ini adalah yang terbaik.
“Saya percaya belanjawan negeri kali ini adalah belanjawan yang baik dan selari dengan dasar serta perancangan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, pada persidangan kali ini DUN Perak akan mempertimbangkan tiga usul lain berkaitan ahli jawatankuasa pilihan termasuk Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan serta Jawatankuasa Kebajikan Ahli.
Pada masa sama beliau berkata, orang ramai boleh mengikuti perjalanan persidangan secara langsung menerusi saluran YouTube DUN Perak, portal rasmi Kerajaan Negeri dan laman Facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sepanjang tempoh persidangan.
Tambah Mohammad Zahir, pihaknya turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat untuk datang ke Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi mengikuti persidangan DUN secara langsung.
“Permohonan boleh dibuat melalui Portal Dewan Negeri Perak atau dengan menghantar permohonan ke Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
“Pas Pemerhati akan diberikan bagi memudahkan urusan disepanjang perjalanan persidangan Dewan Negeri,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Masyarakat India harap Belanjawan Perak 2026 beri sinar cahaya


