KUALA LUMPUR – Sebanyak 596 calon disahkan bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata, calon bebas menyaksikan pencalonan paling ramai iaitu 74 orang diikuti Parti Warisan (Warisan) 73.
Manakala Parti Impian Sabah (PIS) (72), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (55), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (46), Barisan Nasional (BN) (45) dan Perikatan Nasional (PN) (42).
Selain itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) (40), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (25) dan Pakatan Harapan (PH) 22 orang dan Parti Kebangsaan Sabah (PKS)(20).
Turut bertanding Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri)(17), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS)(16), Parti Bumi Kenyalang (PBK)(14), Parti Rumpun Sabah (Rumpun)(tujuh), Parti Maju Sabah (SAPP) (enam) dan Parti Damai Sabah (SPP) (lima).
Juga, Perjuangan Rakyat (PR)(lima), Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS)(tiga), Parti Bangsa Malaysia (PBM)(tiga) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (tiga).
Manakala Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama) dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan) masing-masing meletakkan satu calon.
“Tiada pencalonan yang ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PRN itu juga menyaksikan satu DUN dengan pertandingan 14 penjuru, empat DUN (13 penjuru), dua DUN (12 penjuru), 6 DUN (11 penjuru), sembilan DUN (10 penjuru) dan 10 DUN (sembilan penjuru).
Selain itu, 10 DUN lagi dengan (sembilan penjuru), lapan DUN (8 penjuru), 10 DUN (tujuh penjuru). 13 DUN (enam penjuru), lapan DUN (lima penjuru) dan dua DUN (empat penjuru).
Ramlan berkata daripada jumlah calon bertanding, 525 adalah lelaki manakala 71 lagi wanita.
Calon tertua pula adalah Uling @ Thomas Anggan, 86, daripada PKS di DUN Bingkor dan calon paling muda Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin, 24, juga PKS.
Beliau berkata, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharaan pilihan raya sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025.
SPR juga telah menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen.
SPR menetapkan hari pengundian pada 29 Nov manakala pengundian awal pada 25 Nov. – MalaysiaGazette


