Pembentukan moral tanggungjawab semua, bermula dari di rumah – Agong

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah pembentukan moral adalah tanggungjawab sosial semua lapisan masyarakat dan ia bermula dari kehidupan seharian di rumah.

Titah baginda, institusi pendidikan perlu direvolusi ke arah menitikberatkan elemen kemanusiaan, moral dan kesedaran undang-undang, ekoran beberapa kejadian jenayah melibatkan golongan pelajar dan siswazah.

Baginda bertitah, perkara itu merupakan tanggungjawab sosial semua lapisan masyarakat.

“Kita dikejutkan dengan kes jenayah berat yang melibatkan pelajar. Ini menimbulkan kebimbangan mengenai tahap moral, agama dan watak pelajar. Selain itu, imej institusi pendidikan negara turut tercalar.

“Pendidikan dan pembentukan moral tidak hanya berlaku di kampus mahupun di bilik darjah. Ianya hendaklah bermula dari rumah dalam setiap kehidupan seharian.

“Rumah adalah madrasah pertama bagi setiap insan. Ia tempat di mana anak-anak kita semenjak dari kecil dididik dengan nilai mulia, disiplin dan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Saya berpandangan, sekolah dan institusi pelajaran perlu melalui revolusi pendidikan dengan menitikberatkan elemen kemanusiaan, moral dan kawalan emosi serta kesedaran undang-undang,” titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-103, di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, hari ini seperti yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut bertitah generasi muda hendaklah dipupuk ke arah pengendalian kemajuan dunia siber dengan berhemah.

“Pendedahan kepada kandungan ganas yang berterusan boleh meningkatkan sifat agresif.

“Namun, pada hemat saya, sekatan penggunaan teknologi digital terhadap pelajar tidak akan menyelesaikan masalah, di samping akan hanya mengganggu ekosistem pelajaran secara digital dan jarak jauh.

“Hakikatnya, tiada jalan singkat bagi menangani masalah sosial. Ia memerlukan usaha padu semua pihak bermula dari rumah, sekolah, masyarakat, ahli politik dan kerajaan,” titah Seri Paduka Baginda. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI