JPN nafi dakwaan MyKad individu meninggal dunia diguna pihak lain

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang unsur penyalahgunaan identiti, pengeluaran dokumen pengenalan secara tidak sah atau penglibatan warga asing dalam kes dakwaan berlakunya penyalahgunaan nombor MyKad milik arwah bapa seorang individu seperti yang tular di dalam media sosial.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan hari ini menegaskan, semakan terperinci mendapati kedua-dua individu yang dirujuk dalam paparan tular itu merupakan warganegara Malaysia dan masing-masing mempunyai nombor MyKad yang berbeza.

Menurutnya, berhubung paparan Maklumat Wang Tak Dituntut (WTD) yang dikongsikan, JPN juga telah membuat semakan silang dengan agensi berkaitan bagi memastikan ketepatan maklumat.

“Pengadu mahupun orang awam adalah dinasihatkan supaya merujuk terus kepada pihak Bahagian Wang Tidak Dituntut (BWTD), Jabatan Akauntan Negara bagi tujuan pengesahan lanjut dan tuntutan, selaras dengan prosedur yang telah ditetapkan oleh agensi berkenaan,” katanya.

Terdahulu, tular di dalam sosial media dakwaan seorang individu bahawa nombor MyKad arwah bapanya digunakan oleh seorang individu Cina, dan memohon pandangan netizen untuk membuat aduan menerusi saluran yang tepat.

Bagaimanapun, penelitian MalaysiaGazette mendapati hantaran awal di laman sosial Threads itu sudah dipadamkan pengadu berkenaan.

Sementara itu, JPN dalam kenyataan sama turut mengesahkan bahawa nombor MyKad milik arwah bapa pengadu adalah sah dan kekal didaftarkan atas nama beliau.

Dalam masa sama, tambahnya, pengesahan rasmi oleh waris berkaitan perkara tersebut boleh dibuat di mana-mana pejabat JPN.

“Sehubungan itu, JPN menegaskan bahawa integriti dan keselamatan data pengenalan diri rakyat Malaysia sentiasa dipelihara dengan ketat, selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur keselamatan sedia ada.

“JPN tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan data dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran,” katanya.

Sementara itu, JPN turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi, tuduhan tidak berasas atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan serta kebimbangan awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI