Bekas PTD, dua isteri direman bantu siasatan kes rasuah tender perolehan TDM

PUTRAJAYA – Seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD) direman tujuh hari manakala kedua-dua isterinya masing-masing direman enam dan tiga hari bermula hari ini  bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, ketiga-tiga individu dibawa ke Kompleks Mahkamah Majistret di sini pada 10 pagi selepas ditahan di Ibu Pejabat SPRM petang semalam.

Ketiga-tiga individu, yang memakai baju lokap SPRM berwarna oren dan bergari, kemudian dibawa memasuki kompleks mahkamah oleh pegawai SPRM.

Sementara itu, peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili bekas PTD berkenaan berkata anak guamnya belum sihat sepenuhnya dan dalam proses pemulihan.

“Pihak kami memberi ruang untuk pihak SPRM melakukan siasatan, dan kami juga memohon kepada mahkamah agar beliau mendapat akses kepada peguam semasa siasatan dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas proses reman itu selesai.

Semalam, bekas PTD berkenaan bersama kedua-dua isterinya ditahan pada 7 malam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.

Pada 23 Dis lepas, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Pada Selasa, SPRM menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan TDM.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI