Konsert Amal Gendang Pati M Nasir berjaya kutip dana lebih RM500,000

TANJUNG MALIM – Konsert Amal Gendang Pati Datuk Dr M Nasir yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi berjaya meraih dana lebih RM500,000.

Hasil jualan tiket akan disalurkan kepada dana wakaf pendidikan dan biasiswa pelajar muzik UPSI, khususnya bagi menyokong pembangunan bakat seni di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP).

Konsert istimewa dan berprestij anjuran FMSP itu menampilkan 19 lagu dendangan legenda muzik negara terbabit.

Antaranya termasuklah, Pawana, Phoenix Bangkit, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Langgam Pak Dogol, Melawan Arus dan Kias Fansuri, Sentuhan Listrikmu, Rajawali Terbang Tinggi, Suatu Masa dan Raikan Cinta.

Persembahan dua jam itu membabitkan 30 pemuzik profesional, pelajar muzik, pelajar jurusan tarian serta memberi impak kepada 5,500 penonton yang hadir menyaksikan persembahan.

Konsert Amal Gendang Pati M Nasir berjaya kutip dana lebih RM500,000
Lebih 5,500 penonton hadir pada Konsert Amal Gendang Pati Datuk Dr M Nasir yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, malam tadi. Foto UPSI

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin berkata, 70 peratus peralatan muzik dan teknologi audio visual adalah dari UPSI, 100 peratus teknologi rakaman persembahan adalah dari UPSI dan sepenuhnya pasukan pengurusan acara dikendalikan UPSI.

Menurutnya, 100 peratus tiket terjual dan lebih RM100,000 penajaan diterima dari rakan industri.

“Konsert amal berkonsepkan instrumen gendang itu merupakan sumbangan sosial M Nasir kepada UPSI yang bukan sekadar persembahan seni, malah satu penghormatan besar kepada UPSI dan dunia akademik yang mencerminkan komitmen dan sumbangan tokoh muzik itu.

“Terima kasih atas sokongan masyarakat dan peminat M Nasir hadir yang memenuhi dewan sehingga kutipan dana melebihi RM500,000.

“Inilah konsert ikonik Gendang Pati yang pernah dipentaskan lebih dua dekad lalu, namun kali ini diberikan pembaharuan selari dengan konteks pendidikan universiti dan perkembangan semasa industri muzik,” katanya.

Sementara itu, M Nasir berkata, konsert amal itu menjadi medium pendedahan pengamal industri kepada mahasiswa UPSI, khususnya dalam memahami disiplin kerja profesional dan standard sebenar persembahan bertaraf industri. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

UPSI, Al-Iraqia University meterai MoU

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI