KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung isi kandungan dalam talian terbitan China Press yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong sewaktu Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen, semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan dijalankan susulan aduan rasmi daripada orang awam.
Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian.
“Sekiranya ada laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak, perkara tersebut adalah berasingan dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Dalam masa yang sama, Fahmi menggesa Majlis Media Malaysia memainkan peranan untuk memastikan etika kewartawanan dipatuhi, menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab dan tepat.
Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen yang melampau atau bersifat fitnah khususnya di media sosial.
“Serta sentiasa menghormati institusi raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan,” katanya.-MalaysiaGazette


