IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyelewengan petrol bersubsidi di sebuah stesen minyak di Bagan Serai, semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata lelaki terbabit yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Unser ditahan kira-kira 1 tengah hari semasa sedang mengisi petrol RON95 di lokasi itu.
Siasatan menyeluruh terhadap kenderaan berkenaan telah menemukan dua unit tong plastik berwarna biru berkapasiti 200 liter setiap satu. Kedua-dua tong berkenaan disyaki berisi minyak petrol RON95 yang dianggarkan sebanyak 288 liter.
“Lelaki tempatan yang merupakan pemilik kenderaan tersebut telah ditahan dan kenderaan suspek serta minyak petrol yang ditemukan di dalam kenderaan itu telah disita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata nilai keseluruhan rampasan petrol RON95 dan kenderaan dianggarkan sebanyak RM7,615.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
— BERNAMA


