TANJUNG MALIM – Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) masih relevan dan harus dipertahankan pelaksanaannya bagi melicinkan sistem pentadbiran universiti di negara ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Dr Norkhalid Salimin, berkata, ini kerana AUKU mampu membentuk asas kukuh bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti awam di Malaysia sekali gus menjamin prinsip pengurusan yang berkualiti, teratur dan mampan.
Justeru beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Timbalan-timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Awam berkata, jawatankuasa itu tegas menyatakan sokongan penuh terhadap pengekalan AUKU sebagai sumber rujukan utama dalam tadbir urus universiti.
“Walaupun AUKU sudah menjalani pelbagai pindaan untuk disesuaikan dengan cabaran zaman, ia kekal relevan sebagai kerangka undang-undang yang seimbang.
“Ia bagi menjamin kebebasan akademik seiring dengan tanggungjawab sosial, seterusnya memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Norkhalid berkata, pihaknya menyokong ketegasan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menyatakan bahawa kementeriannya tidak bercadang memansuhkan akta berkenaan sebaliknya beberapa kali dibuat penambahbaikan.
Oleh itu, katanya, Jawatankuasa Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk memelihara serta memperkasakan AUKU.
“Kami juga menjamin segala pindaan adalah selaras dengan prinsip kesejahteraan pelajar dan integriti universiti sebagai institusi yang komited kepada pembangunan holistik pelajar.
“Kami yakin AUKU yang berterusan diperbaharui mengikut keperluan kontemporari amat penting,” katanya lagi.
Menurut beliau lagi, akta itu mencakupi pengurusan tatatertib yang adil dan efektif, kewangan persatuan mahasiswa yang telus serta pembabitan pelajar dalam proses demokrasi kampus.
Justeru ujar beliau, pelaksanaan AUKU berjaya memastikan generasi mahasiswa berkembang dalam persekitaran kondusif, matang dan bertanggungjawab. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


