KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya mengesan serta menumpaskan aktiviti pemancaran stesen pangkalan palsu (Fake Base Transceiver Station – Fake BTS) di Genting Highlands, baru-baru ini dalam satu operasi bersepadu.
Kejayaan operasi ini hasil pemantauan teknikal dan analisis rangkaian berterusan oleh MCMC yang mengenal pasti gangguan perkhidmatan komunikasi serta penyebaran SMS berunsur penipuan kepada pengguna.
Berdasarkan risikan teknikal tersebut, satu operasi lapangan telah dirancang dan dilaksanakan secara bersepadu bersama sebuah syarikat telekomunikasi.

Katanya, pada 19 Januari 2026, pasukan MCMC berjaya mengesan dua buah kenderaan yang digunakan untuk menjalankan aktiviti pemancaran stesen pangkalan palsu.
Pemeriksaan di lokasi mengesahkan berlakunya pemintasan rangkaian telekomunikasi yang dipercayai digunakan untuk menghantar SMS berunsur penipuan kepada mangsa, sekali gus membuktikan aktiviti tersebut dijalankan secara terancang.
Peralatan Fake BTS dan peranti kawalan telah dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, pelaku boleh didenda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan rangkaian komunikasi negara kekal selamat dan terpelihara. – MalaysiaGazette


