GOPENG – Penganjuran bazar Ramadan tahun ini di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak tidak dikenakan sebarang syarat tambahan, namun aspek kebersihan, kelestarian alam sekitar dan pematuhan peraturan sedia ada terus diberi penekanan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, setakat ini semua PBT menganjurkan bazar Ramadan cuma jumlah dan tempat berlainan mengikut lokasi.
Menurutnya, larangan sepenuhnya terhadap penggunaan plastik sekali guna masih belum diperluaskan kepada premis makanan dan pasar.
“Tahun ini secara umumnya tiada syarat tambahan (bazar Ramadan), cuma kita memang selaras dengan usaha kerajaan untuk kita melarang penggunaan plastik secara single-use.
“Cuma kesedaran itu juga sangat penting, jadi seperti biasa kita banyak mengadakan kempen contohnya untuk kita edarkan bekas makanan yang boleh reuse (guna semula), recycle bag (beg kitar semula) dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengedarkan buah limau bersama Puncak Emas Infra Sdn Bhd kepada peniaga dan penduduk sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Pekan Lawan Kuda, di sini pada Ahad.
Dalam pada itu, beberapa PBT turut melaksanakan inisiatif tambahan bersempena bazar Ramadan seperti perkhidmatan pengumpulan minyak masak terpakai serta pengumpulan fabrik terpakai bagi menggalakkan amalan kitar semula.
“Terdapat PBT yang mengadakan perkhidmatan untuk kutip minyak masak terpakai dengan kerjasama dengan penjaja dan orang awam dan dalam setahun dua ini juga ada perkhidmatan baharu iaitu kutip fabrik yang terpakai sebab memang pelbagai barang-barang dalam kehidupan kita yang boleh dikitar semula,” ujarnya.
Sandrea turut menegaskan bahawa PBT tidak membenarkan amalan sewa atas sewa atau penglibatan warga asing dalam mengusahakan tapak bazar.
Selain itu, beliau menambah aspek kebersihan menjadi keutamaan dengan pemantauan dilakukan melalui kerjasama persatuan yang dilantik sebagai penganjur bazar Ramadan.
Tambahnya, tindakan tegas termasuk senarai hitam dan penguatkuasaan undang-undang akan diambil sekiranya pengurusan bazar gagal mematuhi piawaian ditetapkan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Cuaca, isu teknikal antara faktor padang Stadium Perak lewat siap


