PGA rampas kambing, lembu seludup bernilai lebih RM600,000 di Gerik

GERIK – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas 117 ekor kambing, 18 lembu serta dua buah lori bernilai RM686,300 yang dipercayai diseludup dari negara jiran menerusi Ops Taring Kandang di Jalan Baling – Gerik di sini, pada Ahad.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, operasi tersebut melibatkan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

Menurutnya, empat lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 35 tahun turut ditahan dalam operasi tersebut.

“Kesemua suspek yang ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan memindahkan haiwan ternakan iaitu lembu dan kambing dari negeri pantai timur ke utara tanpa sebarang permit atau dokumen kebenaran bertulis yang sah dari JPV.

“Pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua buah kenderaan telah menemui sejumlah haiwan ternakan iaitu lembu dan kambing.

“Hasil siasatan awal mendapati kesemua haiwan ternakan ini dipercayai telah diseludup dari negara jiran melalui jalan tikus di sempadan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh pemandu dan kelindan lori terbabit adalah mereka akan menutup di bahagian belakang lori dengan kain kanvas dan hanya membuka sedikit ruang di bahagian atas lori untuk pengudaraan bagi haiwan-haiwan tersebut.

“Keempat-empat suspek ini dipercayai telah menjalankan kegiatan ini beberapa kali sejak tiga bulan lalu,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan semua haiwan yang dirampas telah diserahkan kepada JPV untuk tindakan lanjut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PGA rampas 168 ekor buaya untuk pasaran restoran di Kampar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI