KUALA LUMPUR – Selepas 18 tahun terpisah dengan keluarganya, seorang warganegara Malaysia, Norida Akmal Ayob akhirnya berjaya dibawa pulang ke tanah air dari Lombok, Indonesia bersama dua anaknya semalam.
Kejayaan itu hasil kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa Indonesia khususnya jabatan imigresen negara itu.
Perkara itu dikongsikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang turut menyambut ketibaan keluarga berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, semalam.
Menurut Shamsul Anuar, Norida mengikuti suaminya iaitu warga Indonesia bersama anak perempuan ke Lombok dan menetap di sana kira-kira 18 tahun lalu.
Bagaimanapun, ujarnya, perkahwinan Norida tidak kekal lama dan dia akhirnya hidup sendirian dalam keadaan serba kedaifan, mencari rezeki sebagai tukang sapu demi meneruskan hidup bersama anak-anak setelah berpisah dengan suaminya.
“Hari ini, hasil kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak berkuasa Indonesia terutama pihak Imigresennya, Norida Akmal Ayob yang mempunyai dua orang anak iaitu Nur Fateen Akmadiana, lahir di Malaysia dan merupakan warganegara Malaysia serta Muhamad Sabani Daniel, warganegara Indonesia kerana lahir di Indonesia telah dapat dibawa balik ke Malaysia,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Sementara itu, Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, kisah Norida yang mahu kembali ke Malaysia dimaklumkan keluarganya di Kampung Bukit Sapi, Lenggong yang datang menemuinya dan memaklumkan keadaan wanita berkenaan.
Ujarnya, beliau dimaklumkan Norida berada dalam keadaan serba kekurangan dengan anak-anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan dan terbiar.
“Ekoran itu saya memulakan urusan dengan meminta kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
“Saya telah menghantar pegawai saya yang diketuai Datuk Dazma Shah Daud ke Lombok, Indonesia bersama Setiausaha Sulit saya bagi urusan membawa pulang.
“Alhamdulillah, kini mereka selamat pulang ke tanah air,” katanya. – MalaysiaGazette


