IPOH – Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai kenaikan laluan kerjaya daripada Gred 1 kepada Gred 5 bagi jawatan pembantu tadbir dalam perkhidmatan awam.
Setiausaha Agung AUEGCAS, Amir Hamzah Yakat Ali berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan satu perkembangan positif yang telah lama diperjuangkan oleh kesatuan berkenaan sejak puluhan tahun lalu.
Katanya, langkah itu juga wajar kerana pembantu tadbir memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan di pelbagai peringkat.

“Alhamdulillah, ini satu berita yang amat menyenangkan hati kami kerana perkara ini bukan diperjuangkan setahun dua, tetapi melibatkan puluhan tahun usaha kesatuan.
“Legasi kepimpinan kesatuan sebelum ini juga telah lama memohon supaya perubahan terhadap skim perkhidmatan ini dilaksanakan kerana pembantu tadbir merupakan tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Bubur Lambuk AUEGCAS Perak di sini, pada Isnin.

Terdahulu media melaporkan kerajaan bersetuju menyediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 ke Gred 5 bagi kira-kira 125,000 pembantu tadbir (Perkeranian dan Kewangan) sebagai langkah menambah baik pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Perdana Menteri berkata, kenaikan gred perkhidmatan mulai Januari 2027 itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat selain kumpulan berkenaan juga perlu mengikuti kursus pendek selama dua minggu.
Mengulas lanjut Amir Hamzah berkata, pihaknya turut berharap agar dapat segera menyediakan kerangka pelaksanaan yang lebih jelas bagi memastikan proses kenaikan gred tersebut dapat dilaksanakan dengan baik.

Ujar beliau, ia perlu supaya tidak berlaku situasi di mana pegawai yang mempunyai pengalaman berada pada kedudukan gred yang sama dengan pegawai baharu selepas dasar tersebut dilaksanakan.
“Sebagai contoh, adakah semua yang berada pada Gred 1 hingga Gred 4 akan dipindahkan terus ke Gred 5 secara sekali gus atau ada mekanisme tertentu yang mengambil kira faktor senioriti dan jawatan penyeliaan,” jelasnya.
Justeru itu beliau berkata, AUEGCAS bersedia untuk memainkan peranan penting melalui bekerjasama dengan kerajaan khususnya dalam memperincikan lagi kerangka pelaksanaan dasar tersebut.
Menurut beliau, kesatuan juga bersedia memberi pandangan serta cadangan bagi memastikan pelaksanaan kenaikan gred berkenaan dapat memberi manfaat secara menyeluruh kepada penjawat awam dalam kumpulan pembantu tadbir.
“Kita berharap pengumuman ini bukan sekadar kenyataan, tetapi dapat diterjemahkan dalam bentuk kerangka yang jelas melalui pekeliling atau garis panduan rasmi,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


