Perak akan ketatkan syarat permohonan lesen bot pelancongan

IPOH – Perak akan mengenakan syarat yang lebih ketat ke atas permohonan-permohonan lesen bot pelancongan di seluruh negeri.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, ia akan diperhalusi bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Laut bagi mengelak kemalangan seperti insiden bot terbalik di Pantai Teluk Batik, Ogos lalu berulang.

“Mengambil pengalaman dan insiden kemalangan berkenaan, kami akan untuk menilai semula dengan memperketatkan kembali syarat-syarat lesen bot pelancongan sedia ada.

“Ia bagi memastikan sebelum ia diluluskan, kita dapat pastikan segala aspek keselamatan dapat dipatuhi.

“Sebelum ini ada kelemahan yang perlu diperbaiki, dan selepas ini syarat lebih jelas perlu ditambah supaya pihak yang bertanggungjawab dapat memastikan semuanya dipatuhi oleh pengusaha bot pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Norhaslinda Zakaria (PN-Pangkor) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Ketika menjawab soalan lisan Datuk Abdul Yunus Jamahri (PN-Kuala Kurau), Sandrea (PH-Teja) memaklumkan, Pasukan Siasatan Kemalangan Jabatan Laut Malaysia (JLM) telah merujuk kertas siasatan insiden bot terbalik berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Negeri pada 24 November lalu untuk semakan.

Selain itu, katanya, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengarahkan pemberhentian serta merta kepada pengusaha terlibat sehingga lesen aktiviti dikeluarkan bermula tarikh kejadian.

Katanya lagi, MPM juga telah mengeluarkan notis arahan keselamatan kepada semua pengusaha dan juga pemakluman bagi menghentikan operasi sementara dalam tempoh penyiasatan isu tersebut.

“JLM akan menempatkan anggota pada hari hujung minggu dan cuti umum di kawasan peranginan sekitar Lumut.

“Ia bagi memastikan bot yang digunakan untuk aktiviti pelancongan adalah bot berlesen dan semua pemandu bot serta penumpang memakai jaket keselamatan. Bot-bot yang beroperasi juga dipastikan membawa penumpang tidak lebih 12 orang.

“MPM telah menggariskan syarat-syarat pengendalian sukan air dan pemantauan dilaksanakan dari masa ke semasa melalui kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM.

“Sekiranya berlaku pelanggaran syarat, pihak pengusaha boleh di kompaun dan tindakan tutup perniagaan,” katanya lagi.

Insiden bot terbalik di Teluk Batik mengakibatkan seorang daripada dua mangsa lemas telah meninggal dunia pada 23 Ogos lalu.

Nurulafiqah Abdullah Sani, 34, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 4.58 pagi di Hospital Seri Manjung (HSM).

Media melaporkan bot rekreasi yang dinaiki dua keluarga bersama dua kru itu terbalik kira-kira sembilan meter dari pesisir pantai.

Kesemua mangsa juga dikatakan tidak memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot rekreasi berkenaan. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Gesa Kerajaan Persekutuan beri perhatian pada Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI