BERUAS – Seorang wanita cedera manakala empat individu lain selamat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di hadapan sebuah stesen minyak di Changkat Cermin, Ayer Tawar dekat sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 4.55 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 11 kilometer dari balai dan tiba pada jam 5.04 petang.
“Kemalangan melibatkan lima kenderaan tiga kereta jenis Proton Wira (dua) dan Proton Inspira serta dua kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 dan Cherry Tiggo.

”Terdapat lima mangsa terdiri daripada seorang wanita yang memandu Proton X50 yang mengalami kecederaan di bahagian tangan dan muka serta empat lelaki setiap seorang dalam empat kenderaan berasingan yang tidak mengalami sebarang kecederaan telah keluar sendiri sebelum jentera tiba.
“Ketua operasi melakukan penilaian situasi dan mengaplikasikan konsep RECEO seterusnya mengarahkan anggota memakai pakaian perlindungan diri (PPE) lengkap seterusnya melakukan pemadaman sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, wanita yang cedera telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum bomba tiba dan operasi tamat sepenuhnya jam 6 petang. – MGPerak
Artikel Berkaitan:
Kilang e-waste haram beroperasi empat tahun tumpas, rampasan RM18 juta


