MENJELANG tibanya musim haji pada tahun ini, suasana dalam kalangan umat Islam khususnya di negeri Perak semakin dirasai apabila ribuan bakal jemaah mula membuat persiapan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan persiapan menghadapi musim haji berjalan lancar dengan dijangkakan tiada sebarang perubahan, termasuk kepada jadual penerbangan pertama masih kekal pada 18 April.
Dalam kehangatan menyahut panggilan Baitullah, Kerajaan Negeri Perak buat pertama kali tampil menerusi inisiatif penyaluran bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada setiap seorang bakal jemaah haji di negeri ini bagi musim 1447H/2026M.

Bakal jemaah haji dari Taiping, Liyana Farhana Zainudin, 25, berkata, inisiatif itu amat diperlukan dan membantunya dalam membuat persiapan awal bagi menunaikan ibadah haji.
“Alhamdulillah bantuan ini sangat membantu buat saya, tambahan pula saya juga kini sedang menunggu panggilan tawaran kerja baharu selepas tamat kontrak kerja baru-baru ini.
“Setakat ini, perbelanjaan persiapan saya hampir RM1,000, jadi bantuan ini memang meringankan beban saya,” katanya ketika ditemui pada program Kursus Haji Perdana 1447H/2026M Peringkat Negeri Perak di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di Ipoh, baru-baru ini.
Program anjuran Tabung Haji itu dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Mengulas tentang perjalanan menuju ke Tanah Suci, Liyana Farhana menyifatkan peluang menunaikan haji pada usia muda disifatkan sebagai rezeki yang tidak ternilai.

Katanya, perasaan ingin menunaikan Rukun Islam Kelima itu mula berputik sejak kecil apabila ibu bapanya telah mendaftarkan namanya di Tabung Haji ketika dia berusia lapan tahun.
“Alhamdulillah ini kali pertama saya menunaikan haji dan saya pergi bersama lima ahli keluarga. Sepatutnya kami pergi lebih awal, tetapi tertangguh akibat sekatan pandemik COVID-19, dan akhirnya tahun ini Allah jemput juga,” katanya.
Menurutnya, perasaan berdebar tetap dirasai memandangkan ini merupakan pengalaman kali pertama dalam seumur hidupnya ke Tanah Suci.
“Saya memang rasa berdebar, namun saya berharap kepada abang dan kakak yang turut akan pergi bersama-sama untuk membimbing saya nanti. Kami juga sudah mengikuti kursus haji dan banyak ilmu diperoleh sebagai persediaan,” katanya yang dijadualkan berangkat pada 7 Mei depan.

Bagi pasangan suami isteri dari Klebang, Allias Kamarudin, 56, dan Noor Syarina Mohamad Arifin, 40, peluang menunaikan haji bersama merupakan impian yang amat dinanti-nantikan selepas sekian lama menyimpan wang.
Pasangan bakal jemaah haji yang dijadualkan berangkat ke Tanah Suci pada 19 April itu menyifatkan bantuan RM1,000 yang diberikan kerajaan negeri sebagai satu inisiatif yang amat dihargai.
“Bagi kami, ini kali pertama kerajaan negeri beri bantuan RM1,000 seorang kepada setiap jemaah haji di Perak, dan kami amat bersyukur atas insentif itu,” kata Allias.
Menurut Allias lagi, kos perbelanjaan persiapan haji bukanlah sedikit, malah boleh ia mencecah ribuan ringgit terutama bagi pasangan yang pergi bersama-sama, ekoran ketidaktentuan ekonomi semasa.
“Kalau ikutkan pada keadaan semasa, perbelanjaan untuk kami berdua sahaja boleh mencecah hampir RM10,000, dan ia belum termasuk kos di sini (untuk persiapan). Jadi bantuan seperti ini memang meringankan beban kami para bakal jemaah haji,” ujarnya.

Sementara itu, bakal jemaah haji dari Tapah, Abdul Rahim Mohamad, 42, menyifatkan bantuan RM1,000 dari kerajaan negeri itu bukan sekadar bantuan kewangan, malah dapat memberi suntikan semangat kepada bakal jemaah untuk membuat persiapan lebih rapi.
Dia yang dijadualkan berangkat ke Makkah pada 19 April ini berkata, masih banyak lagi keperluan yang masih perlu disediakan termasuk suntikan vaksin.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada Menteri Besar Perak atas sumbangan ini. Ia boleh dijadikan wang saku tambahan untuk kegunaan di Tanah Suci nanti.
“Sejujurnya masih banyak lagi barang yang belum saya beli, ia termasuk beg dan keperluan kesihatan seperti suntikan vaksin. Maka wang ini akan saya gunakan sebaik mungkin untuk tujuan tersebut,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, walaupun jumlah tersebut mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun ia amat bermakna khususnya kepada golongan berpendapatan sederhana dalam mempersiapkan diri sebelum ke tiba di Tanah Suci.
Inisiatif prihatin kerajaan negeri
Sementara itu, Saarani dalam ucapannya menegaskan bahawa peluang menunaikan ibadah haji bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh berikutan jumlah permohonan yang tinggi diterima kerajaan pada setiap tahun.
Kata beliau, kerajaan negeri memahami keperluan terhadap persiapan menyeluruh yang perlu dilakukan oleh bakal jemaah, justeru inisiatif bantuan khas diperkenalkan bagi meringankan beban mereka.

“Sebelum membentangkan Belanjawan Negeri 2026, saya telah berbincang dengan rakan-rakan dalam pentadbiran untuk memberikan insentif kepada bakal jemaah sebagai bantuan persiapan ke Tanah Suci.
“Justeru, kerajaan negeri memperuntukkan bantuan khas RM1,000 kepada semua bakal haji Perak bagi musim 2026 sebagai tanda penghargaan kepada mereka,” katanya.
Tambah beliau, bantuan yang akan disalurkan melalui akaun Tabung Haji masing-masing itu boleh dijadikan sebagai wang saku tambahan untuk kegunaan para jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

“Walaupun jumlahnya tidak banyak, namun sekurang-kurangnya ia boleh digunakan untuk membeli keperluan atau makan minum di sana. Kita doakan agar rezeki negeri terus bertambah,” katanya lagi.
Inisiatif bantuan kewangan itu bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat, malah selari dengan aspirasi Pelan Perak Sejahtera 2030 diilhamkan Saarani.
Di bawah Sasaran Perak Sejahtera 2030, aspek Sejahtera Sosial antara yang diberi penekanan dengan memberi tumpuan kepada pelbagai aspek termasuk kerohanian agar dapat memberi kepuasan kepada kehidupan rakyat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak salur RM2.56 juta kepada jemaah haji
Bakal jemaah haji Perak terima bantuan khas RM1,000 seorang


