PMKS di Perak tanggung kenaikan kos operasi hingga 50 peratus – Exco

IPOH – Kenaikan kos bahan api dan konflik Asia Barat mendorong peningkatan kos operasi sehingga 50 peratus kepada syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Perak.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, ia sekali gus memberi tekanan langsung kepada margin keuntungan.

Menurut Salbiah, dapatan berkenaan diperoleh dalam satu tinjauan awal yang dijalankan Sekretariat Usahawan Perak dengan kerjasama Institut Darul Ridzuan melibatkan 844 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di seluruh Perak.

“Majoriti responden melaporkan peningkatan kos operasi, khususnya melibatkan bahan mentah, tenaga seperti minyak dan gas serta kos logistik.

“Tekanan ini menjadi lebih berat apabila berlaku perubahan pola pembelian pengguna yang lebih berhati-hati dalam berbelanja, sekali gus menyebabkan penurunan jualan terhadap usahawan sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Penggulungan Perbahasan Titah DiRaja Sultan Perak pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.

Salbiah berkata, meskipun tinjauan tersebut bersifat sementara dan belum merupakan kajian rasmi yang menyeluruh, dapatan awalnya tetap penting sebagai indikator awal keadaan semasa.

“Tinjauan ini juga menunjukkan ketidakseimbangan taburan lokasi perniagaan, dengan kebergantungan yang tinggi terhadap daerah tertentu seperti Kinta, diikuti Larut Matang dan Selama, Hulu Perak, Perak Tengah, Manjung dan Kuala Kangsar yang menunjukkan tahap penglibatan sederhana.

“Sebaliknya, daerah seperti Muallim, Hilir Perak, Kampar, Kerian dan Bagan Datuk menunjukkan tahap penglibatan yang masih rendah,” katanya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor itu, majoriti responden memaklumkan bahawa mereka terpaksa mengurangkan kos operasi dan menaikkan harga produk atau perkhidmatan bagi mengekalkan margin keuntungan dan kelangsungan perniagaan.

“Ada juga responden yang mencadangkan kawalan harga barangan asas, subsidi berperingkat dan sokongan kewangan tambahan.

“Kerajaan Negeri mengambil dapatan ini dengan serius dan kekal komited membantu sektor usahawan dan koperasi, termasuk melalui perbincangan lanjut dalam mesyuarat khas berkaitan impak krisis Asia Barat.

“Ertinya, kerajaan tidak menunggu masalah menjadi terlalu besar, tetapi telah mula membaca isyarat awal dan menggerakkan respons yang bersesuaian,” katanya. -MG Perak

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI