Penangguhan SUKMA 2026: Perak akur dengan sebarang keputusan

IPOH – Perak akur dengan sebarang keputusan berhubung penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor termasuk kemungkinan temasya dwitahunan itu akan ditangguhkan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, kerajaan negeri berpandangan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama barisan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA perlu meneliti titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta mengadakan perbincangan menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk situasi semasa seperti krisis Asia Barat.

Bagaimanapun beliau berkata, kesiapsiagaan negeri-negeri yang kini berada di peringkat akhir persiapan juga perlu diambil kira, khususnya dalam aspek pembangunan atlet.

“Kita kena lihat kesiapsiagaan kebanyakan negeri yang berada dalam persiapan akhir untuk pasukan dan dari segi pembangunan bakat, proses untuk melahirkan atlet-atlet yang berpotensi besar bagi negeri dan juga negara.

“Tambahan pula negara dalam keadaan bersiap siaga untuk Sukan SEA 2027 yang merupakan sebahagian besar adalah dalam kalangan atlet-atlet yang akan beraksi di SUKMA nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Santai Bersama Atlet Sepenuh Masa Majlis Sukan Negeri Perak (MSNPk) di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo di sini pada Rabu. Turut hadir, Pengarah MSNPk, Mazlan Mohamad.

Dalam pada itu, Khairudin berkata, keputusan sama ada temasya itu diteruskan atau ditangguhkan perlu dibuat secara kolektif dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

“Saya mengharapkan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan akan berbincang dan bersepakat dengan perkara-perkara sama ada penganjuran ini perlu ditangguh atau diteruskan setelah mendapat pandangan daripada semua pihak.

Penangguhan SUKMA 2026: Perak akur dengan sebarang keputusan
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berucap pada Program Santai Bersama Atlet Sepenuh Masa Majlis Sukan Negeri Perak (MSNPk) di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 22 APRIL 2026.

“Pada masa sama, saya rasa sudah pasti Kerajaan Negeri Selangor juga mengharapkan sesuatu keputusan yang konkrit, yang sahih untuk mereka menyusun sisi gerak kerja dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya, sebarang keputusan penangguhan perlu turut mengambil kira kesan terhadap perancangan pembangunan atlet yang telah dirangka lebih awal oleh setiap negeri.

“Bagi kerajaan negeri, kita berpandangan KBS perlu membuat keputusan berdasarkan pandangan dan juga pendapat daripada semua pihak.

“Kalau perlu penangguhan, kena memikirkan apa akan terjadi, apa yang akan terlibat dengan pembangunan atlet yang telah disusun oleh semua negeri yang telah bermula pada tahun 2025.

“Jadi ini juga perlu difikirkan kerana kita tidak mahu perkembangan pembangunan atlet akan terbantut kerana perkara-perkara ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khairudin menegaskan bahawa Perak akan menerima apa jua keputusan yang dipersetujui hasil mesyuarat yang akan diadakan 30 April ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan penganjuran SUKMA di negeri ini ditangguhkan susulan kos tinggi serta mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan krisis di Asia Barat.

Baginda bertitah, penangguhan itu juga wajar dibuat sehingga projek Stadium Shah Alam siap sepenuhnya bagi memastikan penganjuran berjalan lancar. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

SUKMA wajar ditangguhkan sehingga krisis Asia Barat selesai – Sultan Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI