IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan menggunakan pendekatan ‘menang-menang’ bagi menyelesaikan isu kuil yang dibina tanpa kebenaran di sekitar negeri ini.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, perjumpaan serta perbincangan bersama pihak berkaitan akan diadakan bagi merungkai isu tersebut secara menyeluruh yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.
Menurutnya, terdapat kira-kira 47 kuil di negeri ini yang dibina tanpa kebenaran, dengan sebahagiannya wujud sejak kawasan tersebut masih berstatus estet sebelum melalui proses pembangunan.
“Lebih kurang ada 47 kuil yang dibina atas tanah kerajaan tanpa kebenaran. Ada yang apabila jadi estet, kuil itu ada di situ. Apabila (kawasan itu) dibangunkan, kuil itu ditinggalkan dan diambil serta diurus oleh pihak lain. Jadi (kawasan itu) di bawah perbandaran sekarang dan (akhirnya) jadi satu komplikasi di sana.
“Bagaimanapun, di Perak, kita akan bincang dengan semua pihak, cari situasi ‘menang-menang‘ dan kita sudah berjaya. Itu yang Perak tidak ada masalah. Saya akan uruskan dalam setahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Vaisakhi peringkat negeri di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi dan Pegawai Penyelaras Sikh Perak, Baldip Singh.
Dalam pada itu, Sivanesan berkata, kerajaan negeri telah mengadakan beberapa mesyuarat berkaitan 14 rumah ibadat bukan Islam yang dibina di kawasan gua batu kapur yang memenuhi ciri-ciri keselamatan telah diberikan kelulusan daripada kerajaan negeri.
Katanya, keputusan juga telah dibuat bahawa tiada kuil baharu akan diiktiraf oleh kerajaan negeri selepas ini serta isu melibatkan kuil di gua Perak disifatkan hampir selesai. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
14 rumah ibadat di gua batu kapur belum diwartakan – Exco Perak


