KUALA KANGSAR – Ahli majlis termuda yang dilantik di bawah Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) nekad meneruskan usaha memperkasakan pembangunan serta menaik taraf kemudahan infrastruktur demi keselesaan rakyat di kawasan pentadbiran majlis tersebut.
Voon Kai Cheng, 25, mula diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ahli majlis sejak tahun 2022 ketika baru berusia 21 tahun.
Menurutnya, peluang yang diberi untuk kali kedua bagi memegang jawatan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mengekalkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Saya berterima kasih kepada kepimpinan DAP, terutamanya Loh Sze Yee (Ahli Dewan Undangan Negeri Jalong) yang memberi kepercayaan serta peluang kepada saya sekali lagi untuk menjadi ahli majlis di sini.
“Melalui amanah yang diberikan, saya akan mendengar suara daripada masyarakat melibatkan pelbagai lapisan generasi, ada yang muda seperti saya dan ada juga yang lebih senior di Kuala Kangsar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis MPKK di Dewan Bendahara MPKK di sini pada Rabu.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Yang Dipertua MPKK, Dr Sakduddin Zamli.

Seramai 19 ahli majlis mengangkat sumpah pada majlis tersebut terdiri daripada enam wakil Barisan Nasional (BN), lima wakil DAP, lima wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan empat wakil Parti Amanah Negara (Amanah).
Kesemua ahli majlis ini dilantik bagi tempoh dua tahun, bermula 16 Mac tahun ini sehingga 15 Mac 2028 mengikut Seksyen 10(3) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Dalam pada itu, Voon yang sebelum ini berkhidmat di Zon Sungai Siput di bawah sempadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lintang dan DUN Jalong berkata, kerjasama berpasukan menjadi kekuatan utama dalam memastikan pembangunan infrastruktur dapat dilaksanakan secara berterusan..
“Sebagai contoh, tahun ini di DUN Jalong di bawah pimpinan Loh, kami telah mendapat peruntukan infrastruktur dari bulan Januari sehingga sekarang sebanyak RM2.2 juta untuk menaik taraf jalan, pasar awam, ruang niaga pasar dan jambatan di bawah peruntukan KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan),” jelasnya.
Tambahnya, usaha berterusan itu turut diperkukuhkan melalui kerjasama ahli majlis lain menerusi penganjuran Hari Bertemu Pelanggan MPKK yang diadakan setiap bulan bagi memberi peluang kepada mereka mendengar aduan rakyat. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


