KUALA KANGSAR – Suasana pilu menyelubungi kediaman keluarga mangsa dipercayai dibunuh dengan 61 tikaman, Nurfisya Zulkifly, 19, di Kampung Batu Jarau, Karai di sini pada Sabtu.
Tinjauan mendapati, orang ramai terdiri daripada jiran dan saudara-mara hadir bagi memberi penghormatan serta menzahirkan sokongan kepada keluarga mangsa.
Difaham jenazah pelajar kolej itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Periang, Enggor, di sini, pada jam 5.30 pagi, selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa memohon agar diberikan ruang untuk bertenang selepas melalui detik sukar susulan tragedi itu.
Bapa saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, seluruh ahli keluarga Nurfisya masih terkejut dengan perkara yang menimpa.
Justeru ujarnya, mereka masih belum bersedia untuk berkongsi sebarang maklumat kepada media berikutan keadaan emosi yang belum stabil.
“Adik saya (ibu bapa mangsa), memang tak boleh terima lagi. Mereka tak mampu nak bercakap apa-apa.
“Malah semalam, kami bergegas ke Kelantan dan hari ini baru selesai pengebumian sebentar tadi. (Semuanya) masih belum berehat. Jadi kami mohon beri ruang seketika untuk kami berehat dan bertenang,” katanya ringkas kepada pemberita.
Dalam pada itu, seorang rakan mangsa yang juga enggan dikenali memberitahu, dia menerima maklumat berkenaan kejadian yang menimpa Nurfisya melalui media sosial sekitar jam 6.30 petang Jumaat.
“Ketika itu saya sedang bermain permainan video, sebelum terbaca berita berkenaan insiden itu di Facebook. Memang sangat terkejut hingga saya terus ke rumah keluarga arwah, namun ketika itu keluarganya tiada di rumah kerana sedang menuju ke sana (Kelantan),” katanya.
Menurut pemuda itu, Nurfisya disifatkan sebagai seorang individu yang berperwatakan baik serta menjaga batas pergaulan.
“Kami hanya rakan biasa dan tidak terlalu rapat, tetapi pada kali terakhir saya bertemu dengan arwah adalah ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri lalu,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang wanita yang ditinggalkan di Ketereh, tengah malam Jumaat, ditemukan mempunyai 61 kesan tikaman di seluruh anggota badannya.
Mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi terbabit.
Polis mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


