PARIT BUNTAR – Program Jualan Sejahtera Rakyat yang dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) bukan sekadar membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup malah orang ramai berharap inisiatif itu diadakan lebih kerap di semua kawasan.
Warga emas, Suzana Morad, 61, berkata, sebelum ini program jualan seumpamanya pernah dilaksanakan di Pejabat Penghulu setiap tiga bulan sekali.
Menurutnya, inisiatif tersebut amat memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan serta mereka yang sudah bersara.
“Program macam ini bagus untuk kita yang kurang kemampuan, yang sudah pencen, memang mencari peluang macam ini untuk dapatkan barang dengan harga yang murah. Yang keluarga ramai, memang kita berharap sangatlah.

“Hari ini banyak juga kita beli. Ada jual satu beg RM5 ada ayam, ada sayur, ada banyak lagi (waktu happy hour), rempah-rempah dan bermacam-macam lagi.
“Selalunya, kalau macam ini boleh sampai RM300 tapi hari ini semua dalam RM100 lebih sahaja. Kami jimat banyak.
“Memandangkan ada jualan murah ini, sempatlah saya beli untuk simpan stok bagi menyambut Hari Raya Aidiladha nanti,“ katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui di program Jualan Sejahtera Rakyat yang diadakan sempena Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Siri Ketiga Tahun 2026 di Kompleks Pentadbiran Daerah Kerian di sini pada Isnin.
Suzana berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan supaya program tersebut dapat diadakan setiap bulan bagi memenuhi permintaan rakyat.
Abdul Mursyid Azmanuddin, 26, dari Taman Pekan Baru pula teruja kerana pertama kali menjejakkan kaki ke program tersebut.
“Tengok barang-barang semua murah. Jadi, berbaloilah beli dekat sini. Tadi saya sudah datang beli ayam dua ekor, lepas itu beli sepapan telur. Datang sekali lagi ini hendak mencari minyak pula.
“Kalau boleh, program ini diteruskan. Sebab kadang-kadang kita tidak tahu siapa yang mampu dan siapa tidak mampu.

“Kalau barang dapur, beli sikit pun sudah mencecah RM100 lebih. Kalau beli dekat sini, boleh dapat banyak… bawah daripada RM100 pun boleh dapat. Macam ini baguslah untuk semua,“ ujarnya.
Sementara itu, Priya Anandan, 32, berkata, program berkenaan banyak membantu golongan B40 mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih mampu milik.

“Jualan seperti ini boleh bantu golongan B40 membeli barang dengan harga murah daripada biasa. Tadi kita dapat beli satu beg RM5 yang mempunyai seekor ayam dan sayur-sayuran. Beg RM10 pula kami dapat beras lima kilogram dan gula.
“Sekarang kalau pergi shopping centre (pusat beli belah) harga barang agak mahal. Saya harap jualan ini dapat diteruskan bagi meringankan beban rakyat,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak cadang tambah lori Jualan Sejahtera Rakyat


