BERUAS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menjalankan siasatan berhubung video tular di media sosial yang memaparkan pekerja di sebuah stesen minyak di Ayer Tawar mengisi petrol RON95 ke dalam sebuah kenderaan bernombor pendaftaran asing, pada Jumaat.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamaluddin Ismail berkata, hasil pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan KPDN Cawangan Manjung mendapati kejadian berlaku kira-kira pada jam 9 malam, pada Rabu lalu.
Katanya, siasatan lanjut mendapati aktiviti pembelian petrol RON95 telah dibuat oleh warga Malaysia melalui BUDI95 dan bayaran menggunakan kaedah secara kad kredit dikaunter.

“Manakala kenderaan yang digunakan pula adalah disyaki menggunakan nombor pendaftaran asing. Daripada semakan terhadap transaksi, hanya sebahagian daripada jumlah pembelian telah berjaya diisi sebelum pengisian dihentikan sepenuhnya.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak itu juga telah diperoleh dan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Justeru Kamaluddin berkata, satu tindakan kes telah diambil berhubung kesalahan menjual petrol RON 95 bagi kegunaan kenderaan asing di bawah subperaturan 3 (2) Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) (Petrol RON 95) 2026.
Jelas beliau, KPDN Perak juga mengambil tindakan kes ke atas kesalahan membeli bahan bakar iti bagi kegunaan kenderaan asing mengikut subperaturan 4 (3) peraturan sama kerana melanggar subperaturan 4 (1).

“Kes ini akan disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta, bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua duanya
sekali.
“Manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta,” ujarnya.
Terdahulu tular di media sosial video berdurasi 2 minit 16 saat yang memaparkan berlaku aktiviti pengisian bahan api RON95 ke dalam kenderaan bernombor pendaftaran asing dari negara jiran.
Wanita dipercayai pemilik kenderaan berkenaan didakwa telah mengangkat but keretanya sebagai taktik cuba mengaburi nombor pendaftaran kenderaan asing bagi mengelak dikesan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Harga subsidi Budi Madani RON95 kekal RM1.99 seliter – MoF


