Perbincangan berkenaan UEC sudah puluhan tahun – Anwar

IPOH – Keputusan Kabinet dalam membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melibatkan siri perbincangan yang berlangsung kira-kira 40 tahun yang lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu pengiktirafan UEC bukan perkara baharu kerana ia telah dibincangkan sejak beliau memegang portfolio Menteri Pendidikan suatu ketika dahulu

Katanya, meskipun keputusan itu dibuat, kerajaan menetapkan syarat tegas iaitu pelajar lepasan UEC perlu lulus atau memperoleh kepujian dalam subjek Bahasa Melayu dan Sejarah bagi melayakkan mereka mengikuti pengajian di universiti awam.

Malah ujar beliau, keadaan kini sudah berubah apabila kebanyakan sekolah persendirian Cina semakin menerima sistem pendidikan kebangsaan termasuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dalam beberapa pertemuan dengan saya pemimpin-pemimpin persatuan sekolah dan guru tersebut pada puluhan tahun dahulu, mereka enggan berbicara sepatah pun dalam bahasa Melayu.

“Namun, pada pertemuan sekarang semua wakil persatuan dan guru sekolah-sekolah persendirian Cina bercakap dalam bahasa Melayu. Malah sekolah persendiran Cina ini lebih daripada 80 peratus mengambil SPM.

“Sebab itu, apabila kita luluskan keputusan ini, kita letakkan syarat mesti lulus atau kepujian dalam Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 bertemakan ‘Guru Bitara Nadi Negara’ di Hotel Casuarina@Meru, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Anwar berkata, syarat sama turut dikenakan kepada pelajar di sekolah antarabangsa, sekolah Arab dan institusi tahfiz yang sebelum ini kurang memberi penekanan terhadap subjek Bahasa Melayu serta Sejarah.

Menurut beliau, kerajaan kini mengambil pendekatan yang adil terhadap semua aliran pendidikan bagi memastikan elemen kenegaraan terus diperkukuhkan.

“Mahukan duduk di Malaysia, penguasaan bahasa harus kuat. Mahu menjadi rakyat Malaysia mesti faham sejarah kita, Perlembagaan negara, sejarah kemerdekaan dan perjuangan lalu. Itulah sebab mengapa akhirnya kita putuskan untuk meletakkan syarat ini,” jelas beliau.

Dalam pada itu Anwar berkata, kerajaan hanya memutuskan dasar pengiktirafan UEC manakala penawaran kursus tertentu masih tertakluk kepada badan profesional dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Jelas beliau, tidak semua kursus akan dibuka secara automatik kepada lepasan UEC kerana beberapa program profesional memerlukan penilaian lanjut daripada badan berkaitan.

“Kerajaan boleh putuskan pengiktirafan sijil itu, tetapi bagi badan-badan profesional ia perlu dirujuk kepada kementerian dan pihak berkaitan.

“Dasar yang diluluskan Jemaah Menteri jelas, kita izinkan daripada sekolah (aliran bahasa) Arab, sekolah antarabangsa dan sekolah Cina dengan syarat (lulus atau kepujian) Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

GPMS Perak bantah kelonggaran kemasukan UEC ke IPTA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI