IPOH – Polis sedang mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian melarikan peti wang dan telefon bimbit seorang peniaga di Lebuh Meru Raya, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, dua individu terbabit masing-masing dikenali sebagai Mohd Faiz Naharoddin atau nama samaran ‘Paeh’ berusia 36 tahun, dan Mohamad Arif Naharoddin atau ‘Aboy’ dan berusia 25 tahun.
Katanya, kedua-dua lelaki yang dikehendaki polis itu beralamat terakhir di No 29 Hala Meru Damai 13, Halaman Meru Damai, di sini.
“Ciri-ciri fizikal Paeh berketinggian 180 sentimeter (cm), berkulit sawo matang dan bertubuh kurus. Sementara individu dengan nama samaran Aboy tinggi anggaran 175 cm juga kulit sawo matang dan bertubuh kurus,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenai kedua-dua lelaki berkenaan diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Azrul ditalian 017-5823467.
“Orang ramai juga boleh tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengesan orang yang dikehendaki.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari Khamis lalu itu, dua individu yang menunggang motosikal telah menyamar sebagai pelanggan di sebuah gerai menjual nasi bajet.
Mereka kemudian melarikan sebuah peti wang mengandungi wang tunai RM300 serta sebuah telefon bimbit milik peniaga.
Kejadian tersebut mendapat perhatian ramai selepas tular di media sosial menerusi rakaman video berdurasi satu minit 25 saat yang dirakam peniaga terbabit ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Samun Gerai Nasi Bajet: ‘Dia curi peti besi waktu saya cedok nasi‘


