IPOH – Kedudukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak kekal teguh dan stabil meskipun terdapat sebilangan ahli yang mengumumkan keluar parti dan ada yang menyatakan pendirian menyokong bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, selain itu pihaknya juga telah mengenal pasti menerusi hantaran pada media sosial sekitar 30 ahli parti termasuk dalam kalangan bekas kepimpinan yang dijangka akan membuat keputusan sama.
Walau bagaimanapun beliau berkata, perkembangan itu juga tidak menjejaskan kedudukan parti serta sebarang gerak kerja yang sedang giat digerakkan parti itu khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Di Perak hanya ada satu cabang (umum keluar parti) dan itupun hanya melibatkan ketua bersama enam jawatankuasa Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) di Tanjung Malim. Dan ia tidak menyebabkan sebarang perubahan besar kerana jawatan ketua AMK cabang sedang dipangku oleh Timbalan Ketua AMK.
“Malah di Tanjung Malim juga kita ada wakil Ahli Parlimen Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang yang juga Naib Presiden PKR. Oleh itu perkara ini tidak memberi apa-apa kesan kepada PKR Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Ramah Mesra Hi-Tea bersama Para Pengamal Media di Wisma KEADILAN Negeri Perak, di Bandar Meru Raya, di sini, pada Sabtu.

Pada Rabu lalu media melaporkan Ketua AMK Cabang Tanjung Malim, Muhammad Haziq Azfar Ishak mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco AMK Malaysia dan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa serta-merta.
Mohamad Hairul Amir berkata, pihaknya menghormati pendirian tersebut dan menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada mereka yang terlibat.
“Patah tumbuh hilang berganti. PKR Perak akan terus istiqamah meneruskan perjuangan ‘Reformasi’ dengan seluruh kekuatan, keringat dan kudrat yang ada demi memastikan aspirasi perjuangan parti terus diperkasakan.
“PKR Perak memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Parti yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memimpi parti dan negara dengan demokratik serta tenang dalam menghadapi suasana politik yang mencabar,” katanya lagi.
Mengulas lanjut tentang beberapa ahli yang dilihat cenderung untuk mengambil langkah sama beliau berkata, ia hanya melibatkan sebilangan kecil jika dibandingkan dengan 103,000 jumlah orang keanggotaan PKR di Perak.
Kata beliau, perkara itu tidak melibatkan sebarang anggota parti di peringkat kepimpinan tertinggi negeri meskipun ada antara mereka yang sebelum ini dilihat bersama dengan kumpulan Rafizi dalam pemilihan parti sebelum ini.
Malah Mohamad Hairul Amir berkata, perbezaan pendapat bukan perkara asing dalam mana-mana gabungan parti politik di Malaysia, dan PKR Perak sentiasa mengambil langkah perlu dalam menguruskan perkara berkenaan.
“Di Perak selalunya selepas pemilihan kita akan duduk balik sekali untuk terus perkukuhkan parti. Sebab kita tahu setiap orang pemimpin ni dia ada kekuatan dia yang tersendiri.
“Walaupun tak semestinya dia kena menyokong ikut kita (semasa siri kempen pemilihan parti), yang penting adalah sumbangan kepada rakyat tu,” katanya lagi.
Pada masa sama beliau memaklumkan, kepimpinan PRK Perak akan mula mengadakan siri jejalah di setiap cabang di negeri ini pada hujung Mei untuk bertemu dengan setiap ahli parti sebagai usaha untuk terus memperkukuhkan kekuatan parti.
“Kita akan pergi ke setiap cabang di Perak ini. Setiap satu cabang kita ambil masa satu hari untuk kita bertemu setiap anggota dan memperhalusi dari segi kekuatan jentera parti.
“Kita juga akan mengambil kesempatan untuk memastikan kesiapsiagaan untuk menghadapi PRU16, dan akan membuat penerangan kepada ahli kita yang berada di bawah tentang situasi yang berlaku sekarang ni.
“Mungkin ada sedikit yang terasa hati, mungkin ada yang terasa dipinggirkan, dan insya-Allah kita akan perkuatkan kembali parti,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


