TELUK INTAN – Polis membuka kertas siasatan berhubung satu video tular di media sosial yang memaparkan tindakan dipercayai seorang pekerja restoran memasukkan seekor kucing ke dalam guni dalam kejadian di Taman Melor, di sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai video berkenaan yang turut mencetuskan kemarahan orang ramai kerana dipercayai melibatkan perbuatan penganiayaan terhadap haiwan.
Menurutnya, susulan penularan video itu, polis telah menjalankan semakan serta siasatan awal bagi mengenal pasti individu yang terlibat, lokasi sebenar kejadian dan mendapatkan fakta lengkap berhubung insiden tersebut.
“Kita turut menerima satu laporan polis yang dibuat oleh pemilik premis makanan berkenaan berkaitan video tular tersebut.
“Berdasarkan laporan yang diterima, pekerja premis terbabit dipercayai adalah individu yang memasukkan kucing berkenaan ke dalam guni seperti yang dipaparkan dalam video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 29 Akta Kebajikan Haiwan 2015 kerana disyaki melakukan penganiayaan terhadap haiwan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, polis akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi berkaitan bagi melengkapkan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga siasatan selesai dijalankan,“ ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya sentiasa prihatin terhadap kebajikan haiwan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang kejadian penganiayaan atau pengabaian haiwan.
“Kita memandang serius sebarang bentuk penganiayaan terhadap haiwan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tersebut.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menyalurkannya kepada IPD Hilir Perak atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi satu minit 32 saat memaparkan seorang lelaki dipercayai pekerja restoran memasukkan seekor kucing ke dalam guni.
Bagaimanapun, seorang lagi individu yang merakam perbuatan tersebut meminta lelaki terbabit untuk melepaskan haiwan berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


