PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan tindakan penguatkuasaan lebih tegas dan bersepadu oleh pelbagai agensi terhadap aktiviti perniagaan haram termasuk penyalahgunaan visa, ketidakpatuhan cukai serta operasi yang menjejaskan peniaga tempatan dengan amaran tidak lagi memadai tanpa tindakan nyata.
Perdana Menteri berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu mengkaji platform e-dagang serta aliran pembayaran yang terlibat, manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta menyemak aspek perlesenan perniagaan.
Menurut beliau, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia pula perlu memastikan semua cukai dibayar sepenuhnya, sementara Jabatan Imigresen mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan pas dan visa.
“Ini kita sampaikan semua kepada penguat kuasa. Saya minta ia dikomunikasikan dan highlight tindakan yang diambil supaya amaran itu cukup. Bukan amaran semata-mata kerana amaran sudah berulang kali.
“Mesti ada tindakan untuk melindungi industri dan peniaga kecil,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dan timbalannya, Teo Nie Ching.
Anwar mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh peniaga berhubung aktiviti perniagaan yang didakwa melanggar syarat dan peraturan sedia ada.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, kerjasama pusat perniagaan, persatuan peniaga dan dewan perniagaan amat penting bagi membantu usaha penguatkuasaan kerajaan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan terdapat aduan bahawa segelintir persatuan dan dewan perniagaan bukan sahaja gagal membantu pihak berkuasa, malah didakwa bertindak sebagai ejen kepada pihak tertentu.
“Jadi perlu ada mekanisme dan mesti ada cara supaya kita dapat memperkasa masyarakat untuk bertindak,” katanya.
Beliau turut meminta Kementerian Digital, MCMC dan agensi berkaitan meneliti penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantau serta mengesan aktiviti haram dengan lebih berkesan.
Menurutnya, tindakan pihak berkuasa yang diambil bukan bertujuan menyasarkan mana-mana pihak secara tidak adil sebaliknya bagi menangani pelanggaran syarat dan peraturan yang menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga tempatan.
Pada masa sama, beliau menegaskan, kerajaan tidak mempunyai masalah dengan warga China atau rakyat mana-mana negara yang berada di Malaysia secara sah dan memberi sumbangan kepada ekonomi negara.
“Ramai dari China yang datang secara sah dan memberi sumbangan tetapi yang melanggar syarat, menyalahgunakan visa dan mengambil peluang dengan cara yang salah, itu mesti ditangani,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan komunikasi yang jelas oleh kementerian dan agensi kerajaan bagi mengelakkan isu berkenaan dimanipulasi atau diputar belit oleh pihak tertentu.
Katanya, pendekatan komunikasi yang berkesan oleh Kementerian Komunikasi dalam menjelaskan sesuatu isu kepada rakyat merupakan antara kejayaan yang perlu dicontohi kerana mampu mengurangkan salah faham serta polemik berkaitan agama dan kaum. – MalaysiaGazette


