LUMUT – Seorang individu ditemukan rentung selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbakar dalam nahas yang turut melibatkan sebuah treler di Jalan Batu 9, Kampung Semangat, Segari, Pantai Remis awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.36 pagi.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 15 kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 4.52 pagi, Khamis.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah MPV jenis Toyota Innova terbakar hampir 90 peratus selepas dipercayai bertembung dengan sebuah treler jenis Nissan.
“Ketua Operasi telah melakukan penilaian situasi (size-up) sebelum mengaplikasikan konsep RECEO dengan mengarahkan anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap serta alat pernafasan bagi menjalankan kerja pemadaman.
“Api dipadamkan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
“Anggota telah menemui seorang mangsa yang terperangkap serta rentung di dalam kenderaan tersebut dan menggunakan peralatan rescue cutter untuk mengeluarkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, identiti dan jantina mangsa masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu treler yang merupakan lelaki berusia 60 tahun hanya mengalami kecederaan ringan telah diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
Tambahnya, operasi turut melibatkan kerja-kerja pembersihan jalan bagi mengalihkan serpihan kenderaan dan membersihkan tumpahan minyak yang berpunca daripada kemalangan tersebut.
“Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.30 pagi sebelum ditamatkan pada jam 6.48 pagi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


