IPOH – Dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) serta Manjung ditutup sepenuhnya pada jam 2 petang hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Beruas ditutup selepas lokasi bencana telah kembali selamat.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua agensi kerajaan negeri, Persekutuan, individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu dan menyelaras PPS dengan baik sepanjang ia beroperasi.
“Hasil pemantauan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pejabat Penghulu Mukim Beruas mengesahkan keadaan telah kembali selamat.
“Semua mangsa bencana banjir telah dibenarkan kembali ke rumah masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah LMS, Mohd Nasrul Menhat berkata, PPS SK Batu Hampar turut ditutup hari ini pada masa yang sama.
“Pemantauan dan maklum balas agensi-agensi berkaitan mendapati semua rumah mangsa terjejas dengan bencana banjir telah surut sepenuhnya serta selamat untuk mangsa pulang ke rumah masing-masing.
“Kerjasama semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam pengoperasian PPS ini amatlah dihargai,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Terdahulu media melaporkan, dua PPS dibuka di daerah LMS dan Manjung bagi menempatkan 92 mangsa banjir daripada 33 buah keluarga susulan hujan lebat berterusan petang semalam. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


