PUO juara keseluruhan POLYCC Cyber Warrior 2026

IPOH – Politeknik Ungku Omar (PUO) dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Kategori Politeknik dalam pertandingan POLYCC Cyber Warrior 2026, sekali gus membawa pulang Piala Pusingan kejohanan berkenaan, baru-baru ini.

Kejayaan itu dicapai hasil pencapaian kontinjen PUO dalam beberapa kategori pertandingan yang menguji kemahiran pengaturcaraan, rangkaian komputer, inovasi digital dan keselamatan siber.

Antara kejayaan diraih ialah johan bagi kategori ‘Code Rumble’, naib johan masing-masing bagi kategori ‘Networking of The Hill’ dan ‘Hackathon Digitech Nusa’, serta tempat ketiga masing-masing dalam kategori ‘Hackathon Digitech Nusa’ dan ‘Capture the Flag’.

Pencapaian tersebut membolehkan PUO mengumpul mata keseluruhan tertinggi sekali gus muncul juara bagi kategori politeknik dalam pertandingan yang menghimpunkan institusi di bawah Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) dari seluruh negara.

Majlis penyampaian hadiah dan piala disempurnakan Pengarah Kanan (Akademik) di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr Mohd Daud Isa, di PUO, baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan, Pengarah PUO, Dr Salmi Che Meh berkata, kejayaan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan institusi itu dalam memperkukuh budaya inovasi, pemikiran kritis serta penguasaan teknologi digital dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, pencapaian tersebut turut membuktikan keupayaan pelajar PUO untuk bersaing dalam pertandingan berprestij yang menuntut tahap kompetensi tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan keselamatan siber.

“Kejayaan ini merupakan hasil komitmen berterusan warga PUO dalam memperkukuh budaya inovasi dan penguasaan teknologi digital selaras dengan aspirasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara.

“Ia adalah hasil usaha gigih pelajar serta komitmen pensyarah pembimbing yang sentiasa memberikan sokongan dan bimbingan sepanjang proses persediaan sehingga pertandingan berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kejayaan itu juga diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian pada masa depan terutama dalam bidang berkaitan teknologi digital.

“Kejayaan yang diraih membuktikan keupayaan PUO dalam melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang mampu menjadi peneraju dalam bidang teknologi digital dan keselamatan siber, selaras dengan agenda memperkasakan TVET sebagai pemacu pembangunan negara,” tambahnya lagi.

POLYCC Cyber Warrior 2026 merupakan platform yang menghimpunkan penyertaan dari semua institusi politeknik dan kolej komuniti dalam pelbagai cabaran berasaskan teknologi, inovasi digital serta keselamatan siber.

Program berkenaan diwujudkan sebagai medan pembangunan bakat untuk melahirkan graduan TVET yang kompeten dan bersedia menghadapi perubahan landskap teknologi serta tuntutan Revolusi Industri 4.0. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

PUO dominasi anugerah PDTI 2025, kukuhkan status institusi TVET perdana

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI