KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan aktiviti jualan bersih di Bursa Malaysia bagi minggu keenam berturut-turut dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM10.7 juta.
Sepanjang minggu lalu, pelabur asing menjadi penjual bersih pada dua daripada empat hari dagangan, dengan aliran keluar bersih dicatatkan pada Selasa sebanyak RM97.8 juta dan Khamis sebanyak RM72.1 juta.
Bagaimanapun, aliran masuk bersih direkodkan pada Jumaat (RM146.6 juta) dan Isnin (RM12.7 juta), menurut MBSB Research.
Menurutnya, tiga sektor yang menerima aliran masuk bersih tertinggi daripada pelabur asing ialah teknologi (RM128.2 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM117.0 juta) serta perkhidmatan kewangan (RM74.6 juta).
Sebaliknya, sektor penjagaan kesihatan mencatatkan aliran keluar bersih terbesar sebanyak RM108.8 juta, diikuti telekomunikasi dan media (RM106.0 juta) serta pembinaan (RM57.8 juta).
Sementara itu, pelabur institusi meneruskan momentum pembelian bersih untuk minggu ke-10 berturut-turut dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM318.2 juta.
Dalam perkembangan sama, pelabur runcit menamatkan siri pembelian bersih selama lima minggu berturut-turut apabila merekodkan jualan bersih berjumlah RM307.5 juta.
Dari segi purata nilai dagangan harian (ADTV), penyertaan pelabur asing meningkat 41.3 peratus, diikuti institusi tempatan 35.1 peratus dan pelabur runcit 20.6 peratus berbanding minggu sebelumnya. – MalaysiaGazette


