Pokok lama, baharu berbuah serentak dipercayai punca lambakan raja buah

IPOH – Lambakan durian yang berlaku pada musim kali ini bukan sahaja melibatkan durian kampung yang dijual serendah RM1 sekilogram malah durian premium seperti Musang King dan Duri Hitam (Black Thorn) turut terkena tempias sehingga dijual pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding tahun lalu.

Pengusaha Awiena Fruit Store, Ahmad Safawi Abdul Karim, 40, berkata, keadaan itu dipercayai berpunca daripada pengeluaran hasil yang berlaku secara serentak melibatkan pokok lama dan pokok baharu di seluruh negara.

Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan bekalan meningkat serta memberi kesan kepada harga pasaran.

“Pada masa sekarang durian kampung dan durian kahwin seperti durian klon, berhadapan dengan lambakan buah secara serentak untuk satu musim bagi tahun ini.

“Maksudnya buah yang pokok baharu, pokok tua yang dah 20 atau 30 tahun dengan pokok yang baharu dalam dua, tiga tahun berbuah serentak menghasilkan satu lambakan dan harga menurun,” katanya ketika ditemui di gerainya di Bandar Meru Raya di sini pada Rabu.

Isu lambakan durian: Duri Hitam, Musang King dijual pada 'harga marhaen'
Orang ramai membeli pelbagai jenis durian di gerai Awiena Fruit Store di Bandar Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 01 JULAI 2026.

Katanya, harga Musang King di gerainya dijual mengikut gred, dengan buah bersaiz kecil dijual serendah RM13.90 sekilogram, manakala gred yang lebih besar dijual pada harga RM19.99 sekilogram.

“Macam Black Thorn juga dijual pada kadar hampir sama dengan Musang King bergantung kepada kualiti buah dan usia pokok.

“Perbezaan harga juga amat ketara berbanding musim pada tahun lalu apabila Musang King paling murah saya jual pada harga RM35 sekilogram.

“Lagi satu, bila bercampur dengan musim gred yang pokok baharu, buah durian tidak boleh dieksport ke luar negara, itu antara faktor harganya jatuh,” jelasnya yang turut menjual pelbagai jenis durian termasuk Udang Merah, IOI, D24 dan D88.

Bagi memastikan pelanggan memperoleh buah yang segar, Ahmad Safawi memaklumkan bahawa bekalan Musang King dan Duri Hitam dibawa masuk ke premis jualannya dua kali sehari dengan jumlah antara satu hingga satu setengah tan sehari.

Isu lambakan durian: Duri Hitam, Musang King dijual pada 'harga marhaen'
Pelbagai jenis durian termasuk Musang King dan Duri Hitam (Black Thorn) di gerai Awiena Fruit Store di Bandar Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 01 JULAI 2026.

Dalam pada itu, beliau berkata bekalan durian diperoleh daripada beberapa kawasan pengeluaran utama termasuk Kuala Kangsar, Raub dan Pulau Pinang, bergantung pada pembekal.

Mengulas faktor harga yang semakin rendah di peringkat pekebun, Ahmad Safawi berkata keadaan itu disebabkan musim durian berlaku serentak di hampir semua negeri pengeluar utama.

“Sebenarnya faktornya disebabkan semua negeri ada buah yang sama. Semua negeri macam Pulau Pinang, Perak, Johor, buah keluar serentak, untuk Perak, pelanggan di negeri ini yang akan ambil.

“Kalau Pulau Pinang, pelanggan Pulau Pinang dan buah tersebut tidak akan pergi ke merata tempat sebab harga yang sama boleh didapati di negeri sendiri,” katanya yang beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

Ditanya mengenai pilihan pengguna, beliau berkata Musang King masih menjadi pilihan utama walaupun Duri Hitam turut mendapat sambutan.

Isu lambakan durian: Duri Hitam, Musang King dijual pada 'harga marhaen'
Tempoyak durian turut dijual di Awiena Fruit Store, Bandar Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF 01 JULAI 2026.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membuka 20 pusat pengumpulan sementara (PPS) buah-buahan bermusim di seluruh Perak dalam usaha menangani lambakan durian tempatan sepanjang musim kemuncak pengeluaran ketika ini.

Pengarah FAMA Perak, Azleena Zainal Abidin, berkata pembukaan pusat berkenaan dilaksanakan bertujuan memudahkan proses pengumpulan, pembersihan, penggredan dan pemasaran buah-buahan bermusim, khususnya durian.

Menurutnya, pelaksanaan itu adalah bagi memastikan hasil pengeluaran usahawan dapat dipasarkan dengan lebih cekap, sekali gus meningkatkan pendapatan pekebun serta mengurangkan risiko lebihan buah semasa musim pengeluaran durian yang sedang memuncak. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

FAMA buka 20 pusat pengumpulan sementara buah-buahan bermusim di Perak atasi lambakan durian

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI