Kereta bergerak tiba-tiba, wanita cedera tersepit bawah kenderaan

IPOH – Seorang wanita cedera selepas tersepit di bawah sebuah kereta yang bergerak secara tiba-tiba ketika dipercayai sedang membuka pintu pagar rumah dalam kejadian di Taman Temara, di sini, petang ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.39 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) berdekatan tiba di lokasi empat minit kemudian.

“Berdasarkan maklumat saksi di lokasi kejadian, mangsa berusia 38 tahun itu dipercayai sedang membuka pintu pagar rumah sebelum kereta jenis Proton Wira yang enjinnya telah dihidupkan bergerak secara tiba-tiba sehingga menyebabkan mangsa terjatuh sebelum tersepit di bawah kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang awam cuba membantu mengeluarkan mangsa namun tidak berjaya sebelum ketibaan pasukan bomba.

Katanya, ketua operasi mengaplikasikan konsep SAVER sebelum operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan khas beg angkat udara serta pemotong hidraulik.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan didapati mengalami kecederaan pada bahagian kaki sebelum diserahkan kepada pasukan kesihatan yang berada di lokasi untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat sepenuhnya jam 4.16 petang,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Seorang wanita maut, dua cedera, nahas dua kenderaan di Sungkai

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI