Perak Open Special Olympics cungkil bakat baharu atlet ketidakupayaan intelektual

IPOH – Penganjuran kejohanan Perak Open Special Olympics ID Athletics Championship 2026 menjadi platform bagi mencungkil bakat baharu atlet ketidakupayaan intelektual (ID) yang mampu mewakili negeri dan Malaysia ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa pada masa hadapan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Eni Zanifah Mohd Jaberi berkata, kejohanan ini memberi ruang kepada mereka untuk menyerlahkan potensi, membina keyakinan diri serta membuktikan bahawa setiap individu mempunyai keupayaan untuk berjaya apabila diberikan peluang yang sama.

Menurutnya, Sektor Pendidikan Khas JPN Perak menyokong usaha-usaha yang membuka ruang kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas untuk berkembang secara menyeluruh.

“Kejohanan seperti ini amat bertepatan dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menekankan pembangunan insan secara holistik melalui keseimbangan aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Perak Open Special Olympics cungkil bakat baharu atlet ketidakupayaan intelektual
Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas, Eni Nazifah Mohd Jaberi berucap pada program Perak Open Special Olympics ID Athletics Championship 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 JULAI 2026.

“Melalui penyertaan dalam aktiviti sukan, peserta bukan sahaja meningkatkan tahap kecergasan fizikal, malah turut memupuk nilai disiplin, keberanian, semangat kesukanan, kerjasama dan daya tahan diri.

“Inilah antara kemahiran yang amat penting dalam membentuk individu yang lebih berdikari dan mampu menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kejohanan Perak Open Special Olympics ID Athletics Championship 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat, di sini hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Kanan (Sukan) Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perak, Mohd Syaiful Fahmi Mohd Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Perak Community Specialist Hospital (PCSH), Nicholas Chan dan Presiden Persatuan Penggerak Rekreasi Sejahtera Ipoh (PPRSI), Shanker Retinam.

Pada majlis itu, Mohd Syaiful Fahmi turut menyampaikan cek cura Geran Padanan Sukan berjumlah RM20,000 kepada PPRSI bagi tujuan pembangunan atlet ketidakupayaan intelektual.

Perak Open Special Olympics cungkil bakat baharu atlet ketidakupayaan intelektual
Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pendidikan Khas, Eni Nazifah Mohd Jaberi (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek Geran Padanan Sukan kepada Persatuan Penggerak Rekreasi Sejahtera Ipoh (PPRSI) pada program Perak Open Special Olympics ID Athletics Championship 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 JULAI 2026.

Dalam perkembangan sama, Eni Zanifah berkata, pelaksanaan sistem Divisioning yang digunakan dalam kejohanan ini adalah pendekatan terbaik bagi memastikan setiap atlet bertanding mengikut tahap kemampuan masing-masing supaya pertandingan menjadi lebih adil, selamat dan bermakna.

“Pendekatan sebegini mencerminkan semangat sebenar pendidikan inklusif iaitu memberi peluang kepada setiap individu untuk mencapai kejayaan mengikut potensi yang dimiliki.

“Penyertaan yang memberangsangkan daripada atlet Perak dan kontinjen jemputan dari negeri lain turut membuktikan bahawa pembangunan sukan bagi individu berkeperluan khas semakin mendapat perhatian dan sokongan daripada pelbagai pihak,” ujarnya.

Kira-kira 500 atlet ketidakupayaan intelektual (ID) berusia antara lapan hingga 16 tahun berentap dalam kejohanan anjuran PPRSI dengan kerjasama PCSH, Persatuan Olimpik Khas Perak dan JPN Perak.

Antara sukan yang dipertandingkan ialah larian 100 meter, lompat jauh, lontar peluru dan larian berganti-ganti 4×100 meter bagi kategori ketidakupayaan intelektual biasa manakala kategori ketidakupayaan intelektual dengan fizikal rendah melibatkan acara larian 50 meter, lompat berdiri dan lontar bola sofbol. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

500 atlet ketidakupayaan intelektual sertai Kejohanan Olahraga Special Olympics ID Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI