Penantian 28 tahun berakhir, peserta, waris FELCRA Seri Gala terima geran hak milik

TANJUNG MALIM – Penantian hampir 28 tahun peserta dan waris FELCRA Berhad Seri Gala untuk memiliki geran hak milik berakhir apabila baki 47 pentadbir menerima geran masing-masing hari ini.

Penyerahan itu melengkapkan keseluruhan proses pemberian geran di bawah Program Penyusunan Semula Kampung (PPSK), selepas 42 peserta menerima geran hak milik pada tahun lalu.

Ketua Peserta, Masri Malek berkata, FELCRA Berhad Seri Gala diwujudkan pada 1998 di bawah PPSK dengan penyertaan seramai 89 peserta.

Menurutnya, setiap peserta telah diperuntukkan ladang seluas 2.428 hektar berserta lot tapak rumah sebagai asas untuk membina kehidupan yang lebih sempurna bersama keluarga.

“Kita amat bersyukur kerana waris dan peserta menerima geran hak milik masing-masing. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak kerana ambil berat dengan aduan yang disampaikan kepada Pejabat Daerah.

“Tanah yang ada sebelum ini kita serahkan pada pihak FELCRA untuk tanam getah, tapi peserta usulkan untuk menukar tanaman dari getah ke sawit bagi tujuan penanaman semula,” katanya.

Penantian 28 tahun berakhir, peserta, waris FELCRA Seri Gala terima geran hak milik
Ketua Peserta FELCRA Berhad Seri Gala, Masri Malek pada Majlis Penyerahan Geran Peserta Program Penyusunan Semula Kampung (PPSK) serta Perasmian Dewan Besar PPSK Felcra Berhad Kawasan Seri Gala, Slim River. Foto ABDULLAH YUSOF 14 JULAI 2026.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Geran Peserta PPSK serta Perasmian Dewan Besar PPSK FELCRA Berhad Kawasan Seri Gala di sini hari ini.

Majlis penyerahan geran dan perasmian dewan itu disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, secara keseluruhannya terdapat 252 peserta di kawasan berkenaan, namun hanya 89 peserta mempunyai penempatan, manakala selebihnya hanya memiliki ladang seluas 1.124 hektar.

“Sebelum ini peserta luar telah menerima geran pada tahun 2013 tapi tidak membina penempatan, mereka buat di luar tetapi penempatan kami dibuat di kawasan ini,” jelasnya.

Penantian 28 tahun berakhir, peserta, waris FELCRA Seri Gala terima geran hak milik
Norzita Hashim, 50, penerima geran peserta program Penyusunan Semula Kampung (PPSK) di Dewan Besar PPSK Felcra Berhad Kawasan Seri Gala, Slim River. Foto ABDULLAH YUSOF 14 JULAI 2026.

Norzita Hashim, 50, berkata, dia adalah generasi kedua yang mewarisi kediaman dan tanah tersebut selepas pemergian arwah bapanya.

Katanya, sebelum ini tinggal bersama bapanya dan menjaganya sejak menerima rumah berkenaan sehingga bapanya meninggal dunia dan kini segala urusan berkaitan adalah di bawah tanggungjawabnya sebagai pentadbir bagi tiga adik-beradik.

“Syukur alhamdulillah dan terima kasih kepada pihak FELCRA sebab memberikan kami peluang untuk mendapat rumah dan tanah, sebab benda ini bukan semua orang boleh dapat.

“Geran yang diperoleh ini akan diwarisi turun-temurun ke generasi akan datang sebab kami tidak akan tidak berniat untuk menjualnya. Kami akan jaga baik-baik. Kalau arwah ayah masih ada mungkin dia seronok (terima geran hak milik),“ katanya.

Penantian 28 tahun berakhir, peserta, waris FELCRA Seri Gala terima geran hak milik
Penerima geran peserta program Penyusunan Semula Kampung (PPSK) di Dewan Besar PPSK Felcra Berhad Kawasan Seri Gala, Slim River. Foto ABDULLAH YUSOF 14 JULAI 2026.

Dalam pada itu, beliau berkata keluarganya sentiasa merancang melakukan yang terbaik terhadap kediaman berkenaan yang telah melalui beberapa penambahbaikan secara berperingkat sepanjang mereka menetap di situ bagi memastikan ia terus selesa dan terpelihara.

“Perancangan kita macam biasalah, kita mahukan yang terbaik. Maknanya rumah ini pun kalau ikutkan rumah asalnya lain, tetapi bila kita sudah duduk sini lama, kita tambah sikit-sikit dan kita jaga,” ujarnya.

Mengulas perkembangan kawasan penempatan FELCRA, Norzita berkata pelbagai usaha penambahbaikan dan pemulihan kemudahan sedang dilaksanakan yang diyakini memberi manfaat kepada penduduk setempat, khususnya golongan muda.

“Sekarang pun FELCRA sudah banyak melakukan penambahbaikan dan pulih urus. Tidak lama lagi mungkin akan ada gelanggang futsal dan sebagainya, maknanya budak-budak kampung ini tidak perlulah keluar kerana semua benda ada di dalam ini,” jelasnya.

Penantian 28 tahun berakhir, peserta, waris FELCRA Seri Gala terima geran hak milik
Amirruddin Mat Isa, 44, penerima geran peserta program Penyusunan Semula Kampung (PPSK) di Dewan Besar PPSK Felcra Berhad Kawasan Seri Gala, Slim River. Foto ABDULLAH YUSOF 14 JULAI 2026.

Sementara itu, Amirruddin Mat Isa, 44, menzahirkan ucapan terima kasih kepada FELCRA kerana memberikan tanah dan penempatan yang banyak memberi perubahan kepada keluarganya.

“Buat masa sekarang saya tiada perancangan. Cuma saya akan ikut pada FELCRA memandang tanah ini dibahagikan sama rata dengan lapan adik beradik lain termasuk saya.

“Mereka (adik beradik) juga bersetuju untuk saya menjadi pentadbir dan apa yang FELCRA usahakan saya akan maklumkan. Hasil serta dividen yang diterima akan dibahagikan sama rata,” ujarnya yang juga generasi kedua di FELCRA tersebut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

‘Bukan mudah nak dapat, tak wajar jual tanah’

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI