Kes eFishery: Tindakan susulan sewajarnya telah diambil KWAP

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah melaksanakan semakan dalaman menyeluruh terhadap proses pelaburan, susunan pemantauan pascapelaburan serta maklumat yang tersedia kepada pihaknya sepanjang tempoh pelaburan dalam kes eFishery.

“Tindakan susulan yang sewajarnya telah diambil selaras dengan tadbir urus dalaman dan kerangka akauntabiliti KWAP,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kes eFishery secara keseluruhannya melibatkan manipulasi kewangan yang disengajakan serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat tersebut.

Pada 29 April 2026, pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif eFishery, Gibran Huzaifah telah dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun oleh Mahkamah Negeri Bandung selepas disabitkan kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Jumlah keseluruhan pelaburan KWAP dalam eFishery adalah sebanyak RM163.4 juta yang mewakili kira-kira 2.51% daripada keseluruhan pegangan saham syarikat tersebut, kata kenyataan yang sama.

KWAP merupakan pemegang saham minoriti manakala majoriti saham syarikat tersebut dipegang oleh pelabur lain termasuk pelabur institusi global utama yang turut terkesan akibat salah laku berkenaan.

Dalam pada itu, KWAP juga terus meneroka dan melaksanakan segala saluran yang bersesuaian bagi memaksimumkan usaha pemulihan pelaburannya.

KWAP terus memperkukuh pendekatannya terhadap pelaburan pasaran swasta, katanya.

Langkah-langkah tersebut merangkumi kepelbagaian portfolio yang lebih meluas, pelaburan bersama pengurus dana berpengalaman dan rakan kongsi strategik, pemantauan pascapelaburan yang dipertingkatkan, serta pengawasan yang lebih rapi terhadap perkembangan material yang melibatkan syarikat portfolio.

Dana KWAP kekal kukuh dan disokong oleh portfolio yang merangkumi pelbagai kelas aset, sektor dan geografi.

Berdasarkan pencapaian kewangan belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025, KWAP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM8.33 bilion, dengan jumlah dana di bawah pengurusan meningkat kepada RM195.26 bilion.

KWAP komited untuk menguruskan dana secara berhemat, telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan mandat berkanunnya bagi membantu Kerajaan memenuhi obligasi pencen kepada pesara sektor awam. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

KWAP diperdaya, labur hampir RM200 juta dalam eFishery -PM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI