IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri istiadat sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Perak 2026 di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin; Panglima Armada Barat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor; Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Rosli Abu Bakar; wakil rakyat dan ketua jabatan.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebesaran negeri Perak diikuti pemeriksaan kawalan kehormatan utama oleh Sultan Nazrin yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Markas Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen dipimpin Mejar Mohd Izuan Mohamed.
Pegawai pembawa panji-panji ialah Leftenan Aizi Putra, dengan detasmen perhimpunan seramai 280 pegawai dan anggota pasukan keselamatan yang turut merangkumi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Majlis diiringi pancaragam Brass Band KD Pelandok yang dianggotai 35 orang di bawah pimpinan Leftenan Muhamad Ali Rajaie Nor Mohamed dari TLDM.

Setelah pemeriksaan kawalan kehormatan selesai, tiupan Paluan Akhir (Last Post) dimainkan dan Jalur Gemilang diturunkan.
Majlis diteruskan dengan bacaan doa khas Hari Pahlawan oleh Pegawai Staf 2 agama Markas 2 Briged, Mejar Hashim Abdul Rahman, diikuti deklamasi sajak bertajuk ‘Pahlawan’ yang dideklamasikan oleh Leftenan Hadzeri Julai dari Rejimen 503 Askar Wataniah dan Koperal Nurul Syuhada Azmi dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak.
Sebaik selesai, tiupan Rouse dimainkan dan Jalur Gemilang kembali dinaikkan semula diikuti lagu kebesaran negeri Perak sebelum kawalan kehormatan utama keluar perbarisan menandakan penamat upacara.
Sultan Nazrin serta tetamu kehormat yang lain kemudiannya menghadiri Majlis Santapan sempena sambutan itu yang berlangsung di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Hari Pahlawan diisytiharkan pada 31 Julai setiap tahun sempena tanggal tamatnya Darurat di Tanah Melayu iaitu pada 31 Julai 1960 bagi memperingati jasa dan pengorbanan anggota keselamatan yang telah banyak berjasa kepada negara. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


